Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS enggan pertikai pelibatan Putera Mahkota Saudi dalam pembunuhan Khashoggi

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berjanji akan terus bersekutu dengan Arab Saudi meskipun Putera Mahkota Mohammed bin Salman didakwa mendalangi pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Nov 2018 09:00AM Dikemas Kini : 21 Nov 2018 10:39PM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berjanji akan terus bersekutu dengan Arab Saudi meskipun Putera Mahkota Mohammed bin Salman didakwa mendalangi pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

"Mungkin Putera Mahkota saja yang tahu tentang insiden tragik itu - mungkin beliau melakukannya atau mungkin tidak!" kata Presiden Trump dalam kenyataannya.

"Kami semua tidak tahu tentang kebenaran di sebalik kes pembunuhan Jamal Khashoggi. Walau apa pun, kami mahu menjaga hubungan kami dengan Arab Saudi," katanya. "Amerika Syarikat berhasrat untuk kekal menjadi rakan setia."

Pembunuhan Khashoggi, yang menghilang selepas diumpan ke bangunan konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober, sudah sangat memalukan Washington.

Kes tersebut menghambat satu kempen perhubungan awam yang diterajui Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebagai bukti untuk menunjukkan bahawa negara Islam yang konservatif itu sudah mula menjalankan pembaharuan.

Strategi Rumah Putih untuk menjadikan Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebagai rakan utamanya dalam rantau yang sering berlaku pergolakan politik dan tentera, turut dipertikaikan.

Presiden Trump sudah berminggu-minggu enggan menerima bukti-bukti yang menunjukkan pelibatan Saudi dalam pembunuhan Khashoggi serta dakwaan bahawa Putera Mahkota Mohammed yang mengarahkan pembunuhan itu.

Bagaimanapun, dengan The New York Times melaporkan bahawa CIA mendapati Putera Mahkota Mohammed terlibat dalam kes tersebut, tumpuan beralih kepada sama ada Presiden Trump akan menghukum rakan sekutunya atau mencari cara untuk melakukan sebaliknya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Rumah Putih, Presiden Trump membayangkan bahawa beliau tidak ingin mempertikaikan pelibatan putera mahkota itu sambil mengatakan bahawa hubungan Amerika-Saudi lebih penting daripada pelibatan Putera Mahkota dalam pembunuhan Khashoggi.

Beliau akur bahawa Raja Salman dan putera mahkota negara itu "menolak keras sebarang pengetahuan tentang pakatan mahupun pembunuhan Encik Khashoggi."

Arab Saudi, katanya, memberi bantuan yang penting kepada Amerika Syarikat yang berdepan dengan cabaran untuk membendung Iran, di samping komited terhadap kontrak-kontrak senjata Amerika Syarikat bernilai AS$450 bilion (S$618 bilion) dan pelaburan-pelaburan lain. Arab Saudi juga sudah membantu mengekalkan harga rendah minyak, kata Presiden Trump. 

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan