Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS enggan beri AS$45 juta bagi bantuan makanan Palestin buat masa ini

Amerika Syarikat tidak akan menyediakan AS$45 juta (S$59 juta) bagi bantuan makanan kepada warga Palestin yang diikrarnya bulan lalu sebagai sebahagian daripada Rayuan KecemasanTebing Barat/Gaza.

Anggaran Waktu Membaca:
AS enggan beri AS$45 juta bagi bantuan makanan Palestin buat masa ini

Gambar fail Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Diterbitkan : 19 Jan 2018 02:25PM Dikemas Kini : 19 Jan 2018 02:26PM

WASHINGTON: Amerika Syarikat tidak akan menyediakan AS$45 juta (S$59 juta) bagi bantuan makanan kepada warga Palestin yang diikrarnya bulan lalu sebagai sebahagian daripada Rayuan KecemasanTebing Barat/Gaza oleh Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin PBB (UNRWA), menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat semalam (18 Jan).

Selasa lalu, Washington mengumumkan ia akan menyimpan dana berasingan bernilai AS$65 juta sehingga UNRWA membuat pembaharuan.

Jurucakap Jabatan Negara Heather Nauert menafikan tindakan tersebut untuk menghukum warga Palestin dan mereka yang mengkritik pengumuman Encik Trump bulan lalu untuk memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat ke Baitulmakdis dari Tel Aviv.

Dalam surat yang dikirim kepada Pesuruhjaya Besar UNRWA, Pierre Krähenbühl 15 Disember lalu, Pengarah Jabatan Negara Eric Hembree mengikrarkan AS$45 juta untuk dana Rayuan Kecemasan Tebing Barat/Gaza.

"Amerika Syarikat merancang untuk menyalurkan dana ini kepada UNRWA pada awal 2018," menurut surat tersebut. "Surat susulan dan pakej sumbangan yang mengesahkan sumbangan ini akan dikirimkan pada atau sebelum awal Januari 2018."

Amerika Syarikat dengan jelas menyatakan bahawa ikrar AS$45 juta itu bertujuan untuk membantu agensi tersebut "meramalkan" bantuan diperlukan tetapi bukan sesuatu yang pasti, kata Cik Nauert kepada para wartawan.

"Pada masa ini, kami tidak akan menyediakan dana tersebut, tetapi itu tidak bermakna - saya ingin jelaskan - ini tidak bermakna ia tidak akan disediakan pada masa depan," kata beliau.

Beliau menegaskan lagi pandangan Amerika Syarikat bahawa UNRWA perlu membuat pembaharuan, dan mengatakan bahawa kini terdapat lebih banyak lagi pelarian dalam program tersebut berbanding dulu, dan "dana dari negara-negara lain juga harus naik bagi terus menampung pelarian."

"Jadi kami menyeru negara-negara lain untuk melakukan lebih banyak lagi," kata beliau. "Pada dasarnya kami tidak percaya bahawa kami sahaja yang menjadi ketua penyumbang bagi setiap pertubuhan di seluruh dunia."

Di sebalik keputusannya mengenai ikrar dana bantuan makanan itu, beliau berkata: "Kami adalah negara yang paling murah hati di dunia dan ini akan diteruskan."  

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan