Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

App AyoPoligami di Indonesia cetus reaksi pelbagai di kalangan orang ramai

“Saya mahu ia menjadi laman mencari jodoh yang boleh dipercayai,” katanya kepada JP.

Anggaran Waktu Membaca:
App AyoPoligami di Indonesia cetus reaksi pelbagai di kalangan orang ramai

Reka bentuk laman dan app AyoPoligami. (Gambar: Laman AyoPoligami)

Diterbitkan : 11 Sep 2017 10:51PM Dikemas Kini : 11 Sep 2017 10:58PM

JAKARTA: Isu poligami kerap menjadi subjek kontroversi di Indonesia. Lantaran itu, apabila sebuah laman dan app cari jodoh, AyoPoligami, dilancarkan, ia menarik perhatian ramai netizen.

Dilancarkan pada 12 April tahun ini, AyoPoligami membawa ciri berkaitan poligami: satu ruang di mana anggota app itu boleh mendedahkan status perkahwinan mereka dan sebuah catatan bahawa pasangan mereka memberi keizinan untuk berpoligami.

Elma Adisya, seorang intern majalah online, Magdalene, menemui app itu semasa menulis artikel mengenai kesan poligami terhadap kanak-kanak.

Artikel beliau menjadi viral sehingga pengguna seperti Miranti Adelia memuat turun app itu, menurut Jakarta Post (JP).

Apabila Elma cuba app itu buat pertama kalinya, beliau mendapati app berkenaan kebanyakannya digunakan anggota lelaki.

Miranti, bagaimanapun, menarik perhatian ada juga pengguna wanita.

“Mereka mungkin menyamar sebagai orang lain atau membuat kajian seperti saya,” kata beliau kepada JP.

Semasa membuat kajian mereka, Elma dan Miranti berdepan dengan pelbagai jenis lelaki.

Elma memberitahu tidak semua anggota menyertai AyoPoligami dengan keizinan isteri mereka.

Sementara itu, Miranti berinteraksi dengan lelaki yang adanya bersopan santun dan ada juga yang nampak baik pada awalnya tetapi kemudian memulakan sembang berunsur seksual. Ada juga menurut Miranti tidak menunjukkan tujuan yang jelas.

Pemilik dan pengasas AyoPoligami Lindu Cipta Pranayama memberitahu JP bahawa app itu dibangunkan berdasarkan pengalaman peribadi beliau di beberapa laman mencari jodoh.

“Pada asalnya, kami membangunkan laman mencari jodoh kepada golongan belum kahwin tetapi semasa tempoh pembangunan itu, muncul isu poligami,” kata Lindu kepada JP.

Berdasarkan pemerhatian beliau, poligami boleh meruntuhkan sesebuah rumah tangga jika suami tidak memberitahu niatnya untuk bernikah lagi kepada isterinya.

“Ia mencalar hati perasaan seseorang wanita,” tambah beliau.

AyoPoligami dikatakan direka untuk mereka yang mencari hubungan serius. Bagaimanapun, sedang populariti app itu bertambah, akaun palsu juga meningkat dan sembang berunsur seksual juga kerap berlaku.

Selepas berunding dengan ustaz beliau, Lindu memadam semua akaun anggota app tersebut, dengan rancangan untuk melancarkan semula platform berkenaan.

Lindu berkata versi terbaru AyoPoligami akan menyertakan lebih banyak ciri penapisan. Sebagai contoh, mereka yang mahu mendaftar perlu memberi kad pengenalan yang sah, mendedahkan status perkahwinan merka dan surat keizinan untuk bernikah lagi daripada isteri pertama.

Beliau menambah kepada JP bahawa adanya atau tidak adanya AyoPoligami, isu poligami memang sesuatu yang kontroversil. Maka itulah sebabnya keizinan pasangan diperlukan.

Lindu juga berkongsi bahawa beliau bertemu dengan isterinya melalui app itu. Ini memberi beliau motivasi untuk meneruskan membangunkan khidmat mencari jodoh secara online.

“Saya mahu ia menjadi laman mencari jodoh yang boleh dipercayai,” katanya kepada JP. 

Sumber : Agensi berita/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan