Images
  • Xavier Jayakumar
    Dr Xavier Jayakumar. (Gambar: Dr Xavier Jayakumar/Facebook)

AP lompat parti perlu dedah perlakuan rasuah pemimpin UMNO

PUTRAJAYA: Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang melompat parti untuk menganggotai Pakatan Harapan (PH) perlu mendedahkan segala dakwaan perlakuan rasuah melibatkan pemimpin UMNO tanpa gentar, kata Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar.

Dalam satu kenyataan hari ini (15 Dis), beliau berkata ia adalah antara tiga syarat ditetapkan Majlis Presiden PH, yang perlu dipersetujui oleh Anggota Parlimen yang melompat parti.

Sebagai tambahan kepada pengiktirafan dan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, beliau berkata Anggota Parlimen berkenaan harus menegaskan semula komitmen tidak berbelah bahagi kepada perdana menteri yang berikutnya.

Mereka katanya juga perlu komited terhadap perjuangan PH untuk membawa perubahan positif kepada negara itu menerusi sokongan menyeluruh di Dewan Rakyat bagi usul yang dibangkitkan Anggota Parlimen PH memandangkan perubahan besar oleh PH yang dilihat positif kepada rakyat dan mungkin memerlukan majoriti dua pertiga juga perlu disokong oleh Anggota Parlimen berkenaan.

“Paling penting, mereka kini perlu mengambil peluang ini untuk menyatakan, mendedahkan atau memberi maklumat sebarang dakwaan rasuah yang lain membabitkan pemimpin UMNO semasa seperti Encik Najib Razak atau Dr Ahmad Zahid Hamidi tanpa rasa gentar, bukan sahaja kepada kepimpinan PH tetapi juga kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini (15 Dis).

Rabu lepas, UMNO Sabah lumpuh berikutan pemimpin utamanya keluar beramai-ramai daripada UMNO, menyaksikan peletakan jawatan sembilan daripada 10 ADUN, lima daripada enam Anggota Parlimen dan 22 daripada 25 ketua bahagian.

Semalam (14 Dis), enam Anggota Parlimen daripada UMNO mengumumkan keluar daripada parti itu.

- BERNAMA/NA/na

Top