Images
  • anwar release
    (Gambar: Roslan Rahman/ AFP)

Anwar yakin pasukan diketuai Dr Mahathir terbaik

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya pasukan diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, adalah satu kumpulan terbaik untuk membawa negara ke arah hala tuju yang lebih baik untuk rakyat secara keseluruhan.

Bercakap buat pertama kali di hadapan ribuan penyokong malam semalam (16 Mei) selepas dibebaskan dari penjara, Ketua Umum PKR itu yakin semua pemimpin tertinggi PH mempunyai komitmen tinggi untuk membuat satu perubahan yang baik untuk negara.

Datuk Seri Anwar, yang baru dibebaskan selepas mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V semalam (16 Mei), menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Dr Mahathir yang ketika pemerintahannya, beliau dimasukkan ke dalam penjara.

"Yang kamu sakit hati, kami baik kenapa? Orang dulu masa kempen cukup marah, saya kena layan begitu teruk, kenapa baik semula?

"Kamu semua tak faham ukhwah, tak faham silaturrahim, orang nak baik dengan kita, kita kena baik balik. Tetapi kalau orang itu rompak kita, tindas rakyat, ambil duit 1MDB, yang itu kita janganlah baik," katanya ketika berucap di hadapan ribuan penyokong di Perhmpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur, semalam (16 Mei).

HUBUNGAN BAIK BUKAN ATAS DASAR POLITIK

Turut hadir adalah isterinya yang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Datuk Seri Anwar, yang juga mantan timbalan perdana menteri, menegaskan bahawa hubungannya dengan Dr Mahathir bukan dibuat atas dasar pertimbangan politik.

"Tidak, saya tak akan sokong Tun Dr Mahathir kalau tak yakin dia boleh bawa kebaikan dan perubahan, saya sokong kerana saya yakin dia dan pasukannya serta semua sahabat-sahabat saya, Mat Sabu, Guan Eng mampu membawa perubahan yang baik untuk negara," katanya.

Terdahulu, ketibaan Anwar pada 10.00 malam disambut penyokongnya yang begitu gembira sehingga menitiskan air mata selepas pembebasannya.

Ia turut diikuti sorakan orang ramai yang melaungkan ‘Reformasi’.

Majlis meraikan pembebasan Datuk Seri Anwar itu dimulakan dengan solat Magrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah sebelum beberapa pemimpin tertinggi PH menyampaikan ucapan masing-masing.

Datuk Seri Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan kes liwat.

Datuk Seri Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, pada asalnya dijadual dibebaskan pada 8 Jun.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan serta-merta semalam (17 Mei) selepas mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top