Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anwar terbuka kepada peranan khas untuk Mahathir selepas undur diri

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim mengatakan bahawa tidak mungkin Dr Mahathir Mohamad mahu terus kekal dalam kerajaan setelah melepaskan jawatan sebagai perdana dalam masa dua tahun seperti yang dirangcangkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Anwar terbuka kepada peranan khas untuk Mahathir selepas undur diri

Gambar fail Anwar Ibrahim semasa wawancara eksklusif bersama Mediacorp.

Diterbitkan : 19 Sep 2018 02:49PM Dikemas Kini : 19 Sep 2018 02:51PM

KUALA LUMPUR: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim mengatakan bahawa tidak mungkin Dr Mahathir Mohamad mahu terus kekal dalam kerajaan setelah melepaskan jawatan sebagai perdana dalam masa dua tahun seperti yang dirangcangkan. Namun, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa satu peranan khas mungkin diwujudkan bagi Dr Mahathir untuk terus menyumbang kepada negara.

Dalam satu wawancara eksklusif bersama Mediacorp, tokoh politik veteran itu ditanya jika Dr Mahathir akan diberi peranan sebagai menteri kanan atau menteri pembimbing selepas beliau bersara sama seperti negara jiran Singapura.

Encik Anwar, 71 tahun, menegaskan bahawa ia tidak akan menimbulkan "masalah" jika hubungannya dengan Dr Mahathir terus muhibah.

"Dr Mahathir selalu mengatakan kepada saya: 'Kalau sudah bersara, buatlah macam sudah bersara'. Tetapi kami bersikap terbuka - selagi hubungan kami sekarang terus kekal muhibah dan hubungan kerja pula berdasarkan kepercayaan antara satu sama lain, saya tidak melihatnya sebagai satu masalah sama sekali," kata Encik Anwar.

Namun, Encik Anwar mengatakan beliau tidak percaya Dr Mahathir, yang usianya akan mencecah 95 tahun apabila melepaskan jawatannya kelak, berminat untuk terus kekal dalam kerajaan.

"Saya tidak percaya - selepas lama berbincang dengan Mahathir - beliau berminat untuk menyandang jawatan dalam kerajaan. Tetapi saya rasa kepakaran dan pengalamannya patut dimanfaatkan dalam membantu menggubal dasar-dasar negara dan sekalipun untuk membantu menerangkan atau mengukuhkan hubungan di dalam mahupun luar negara," kata Encik Anwar lagi.

KEMBALI KE PARLIMEN PERTENGAHAN OKTOBER

Encik Anwar selanjutnya berkata bahawa beliau sudah bersedia untuk kembali ke parlimen seawal bulan depan, sebelum pembentangan belanjawan pada 2 November depan, dan menyumbang kepada penyusunan semula parlimen.

Meskipun belum dipastikan bilakah dan bagaimanakah peralihan kuasa akan dijalankan, kata Encik Anwar, perhatiannya sekarang tertumpu kepada usaha menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ingin membawa perubahan kepada negara.

"Meskipun saya memimpin sebuah parti yang mempunyai beberapa Anggota Parlimen dalam Dewan, namun kedudukan saya sangat jelas. Anda mempunyai seorang perdana menteri, anda perlu beri sokongan, ruang dan tenaga seluruh parti untuk memimpin kerajaan," kata Encik Anwar.

Beliau juga berkata bahawa mungkin akan ada rombakan kabinet sebaik sahaja beliau kembali ke parlimen, yang ditentukan berdasarkan kelakonan para menteri sedia ada yang dilantik Dr Mahathir.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan