Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anwar Ibrahim ulangi tidak tergesa-gesa untuk jadi Perdana Menteri

Anwar Ibrahim mengulangi bahawa beliau tidak tergesa-gesa untuk menjadi perdana menteri kerana Malaysia ketika ini memerlukan kestabilan dan seorang pemimpin yang kuat.

Anggaran Waktu Membaca:
Anwar Ibrahim ulangi tidak tergesa-gesa untuk jadi Perdana Menteri

Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 16 Sep 2018 12:45AM Dikemas Kini : 16 Sep 2018 12:49AM

SINGAPURA: Anwar Ibrahim mengulangi bahawa beliau tidak tergesa-gesa untuk menjadi perdana menteri kerana Malaysia ketika ini memerlukan kestabilan dan seorang pemimpin yang kuat.

Encik Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata demikian kepada para wartawan ketika ditanya sama ada beliau mahukan proses peralihan jawatan nombor satu itu diadakan lebih awal atau lewat.

“Proses peralihan yang telah dipersetujui ialah Tun Mahathir menguruskan hal ehwal negara dan kami menyokong beliau. Ini yang penting.

“Dan saya tidak fikir yang kami patut tergesa-gesa melakukannya kerana beliau (Dr Mahathir) memainkan peranan amat penting demi negara… saya mahu memastikan beliau efektif dalam kedudukannya,” tegas beliau.

Encik Anwar ditemui selepas menyampaikan ucapan di Dialog Pembiayaan S. Rajaratnam, iaitu program penting dalam Sidang Puncak Singapura 2018 yang diadakan di Hotel Shangri-La.

KEMUNGKINAN UMNO BERGABUNG DENGAN BERSATU

Sementara itu, menyentuh mengenai sama ada beliau bimbang bahawa UMNO sudah menghubungi Bersatu (parti Dr Mahathir) untuk bergabung, Encik Anwar yang memilih kerusi Parlimen Port Dickson bagi membuka laluan untuk kembali aktif dalam politik, berkata beliau tidak bimbang.

“Kenapa bimbang? Mereka boleh hubungi mana-mana anggota gabungan Pakatan. Ia bukan satu masalah.”

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berita bahawa pengamal media veteran, A Kadir Jasin, mendakwa wujud desas-desus bahawa pemimpin UMNO, termasuk Presidennya Dr Ahmad Zahid Hamidi, sudah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir untuk membincangkan penggabungan UMNO-Bersatu.

"Yang jelas, mereka (pemimpin UMNO) tidak lagi bercakap tentang UMNO tetapi tentang Pekembar… iaitu nama pendek UMNO dalam bahasa Melayu.

"Desas-desus itu, ialah mereka mahu menerokai kemungkinan menggabungkan Pekembar dengan Bersatu untuk membentuk Pekembar Bersatu,” menurut catatan Kadir dalam blog peribadinya.

Berhubung sama ada beliau mengalu-alukan UMNO untuk menyertai Pakatan pula, Encik Anwar berkata: “Pastinya bukan sekarang. Kami juga tidak pernah menimbangkan perkara ini. Mereka (UMNO) bersama-sama PAS pagi ini pada Muktamar PAS."

Apabila ditanya jika perkara itu boleh berlaku pada masa depan, Encik Anwar menjawab: “... kes di masa depan Que Sera Sera (whatever will be, will be (apa pun yang akan berlaku, akan berlaku). Tetapi buat masa ini, pastinya tiada dalam pertimbangan.”

Menyentuh soalan sama ada anaknya Nurul Izzah atau isterinya Dr Wan Azziah Wan Ismail,  yang ketika ini ialah Timbalan Perdana menteri, patut memegang jawatan Kabinet apabila beliau menjadi perdana menteri nanti, Encik Anwar berkata: “Pendirian kami ialah Wan Azizah perlu meletak jawatan apabila saya mengambil alih jawatan Perdana Menteri.”

“Perkara ini telah diumumkan sejak awal lagi. Dan bagi Nurul Izzah, kita akan lihat apa kedudukannya. Saya tidak tahu dan tidak mahu buat spekulasi. Tetapi apa yang penting sekarang ialah Azizah tidak akan berkhidmat dalam Kabinet. Ini yang penting,” kata beliau.

Nurul Izzah kini ialah Anggota Parlimen Permatang Pauh. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan