Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anwar Ibrahim angkat sumpah selaku anggota Dewan Rakyat

Encik Anwar Ibrahim hari ini (15 Okt) mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Encik Mohamad Ariff Md Yusof.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Oct 2018 11:21AM Dikemas Kini : 16 Oct 2018 12:26AM

KUALA LUMPUR: Encik Anwar Ibrahim hari ini (15 Okt) mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Encik Mohamad Ariff Md Yusof.

Upacara itu diadakan pada kira-kira 10.00 pagi sejurus Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14 mula bersidang.

Ini menyusuli kemenangan Encik Anwar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Sabtu lalu (13 Okt) dengan majoriti besar 23,560 undi.

Encik Mohamad Ariff ketika mengalu-alukan anggota Parlimen terbaru itu mengucapkan tahniah kepada Encik Anwar atas kemenangannya di PRK Port Dickson.

“Sebagaimana yang saya ungkapkan pada hari pertama Dewan Rakyat sebelum ini, dewan ini mempunyai kedudukan tertinggi dalam menentukan undang-undang negara untuk memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

"Dewan ini mempunyai wibawanya yang sendiri, justeru peranan Parlimen ini perlu dihayati sebaiknya,” kata Encik Mohamad Ariff yang yakin Encik Anwar mampu melaksanakan tugas dengan sebaiknya serta memberi sumbangan berfaedah kepada negara, tambahnya mengenai ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Di PRK tujuh penjuru itu, Encik Anwar, 71 tahun, mendapat 31,016 undi, menewaskan calon PAS Ecik Mohd Nazari Mokhtar (7,456 undi) dan lima calon bebas merangkumi bekas pembantu peribadi Encik Anwar, Encik Saiful Bukhari Azlan (82), bekas menteri besar Negeri Sembilan Encik Mohd Isa Abdul Samad (4,230), Encik Lau Seck Yan (214), Encik Stevie Chan (337) dan Encik Kan Chee Yuen (154).

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi berkenaan, Encik Danyal Balagopal Abdullah, 68 tahun, mengosongkan kerusi pada 12 Sep lalu untuk memberi laluan kepada Encik Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Encik Danyal sebelum ini dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas, memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Encik V.S. Mogan dan Encik Mahfuz Roslan dari PAS.

Kali terakhir Encik Anwar bertanding ialah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013 bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan beliau menewaskan Encik Mazlan Ismail (BN) dan Encik Abdullah Zawawi Samsudin (Bebas) dengan majoriti 11,721 undi.

Kelayakan beliau sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh terlucut selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun apabila rayuannya terhadap hukuman penjara pada Februari 2015 ditolak.

Bagaimanapun, beliau diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat pengampunan penuh Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu, tujuh hari selepas Pakatan Harapan diberi mandat memerintah susulan PRU14.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan