Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anwar bertegas tidak akan sertai Kabinet selepas angkat sumpah sebagai AP

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen pada Isnin (15 Okt), namun Encik Anwar berkata beliau tidak akan menyertai Kabinet Malaysia buat masa ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Anwar bertegas tidak akan sertai Kabinet selepas angkat sumpah sebagai AP

Anwar Ibrahim semasa mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 16 Oct 2018 07:06AM Dikemas Kini : 16 Oct 2018 07:14AM

PUTRAJAYA: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen pada Isnin (15 Okt), namun Encik Anwar berkata beliau tidak akan menyertai Kabinet Malaysia buat masa ini.

Encik Anwar, yang kembali ke Dewan Rakyat semalam (15 Okt), bertekad untuk menambah baik dan memperkukuh kedudukan Parlimen sejajar dengan tanggungjawab terbarunya itu.

Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata tumpuannya termasuk melaksanakan usaha menubuhkan beberapa jawatankuasa pemilih selaras dengan manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Keutamaan adalah untuk membantu kerajaan melaksanakan sebahagian daripada manifesto iaitu pembaharuan Parlimen. Parlimen kita pada masa lalu telah dianggap sebagai “rubber stamp” sahaja, Anggota Parlimen akan bahaskan dan perakukan apa sahaja yang telah diputuskan.

“Pendekatan baru ini untuk memastikan Parlimen menjadi lebih efektif menerusi penubuhan jawatankuasa pemilih atau pelbagai perbincangan lain sebelum perbahasan, sebelum pembentangan undang-undang dan ini sudah tentu akan dibincangkan, ia perlu diperakukan oleh Kabinet,” katanya kepada para wartawan di lobi Parlimen semalam (15 Okt).

Encik Anwar juga bertegas bahawa beliau tidak akan menyertai kabinet Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya sebagai penyokong kerja lebih relaks, saya nak cakap apa pun boleh. Kedudukan formal akan beri kekangan kepada saya,” kata beliau.

Encik Anwar semalam (15 Okt) mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof.

Anwar memenangi pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson pada Sabtu lalu (13 Okt) dengan majoriti besar 23,560 undi mengalahkan enam calon lain. 

Sumber : CNA/BERNAMA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan