Images
  • Lombok quake victim
    Para penduduk mengusung seorang mangsa gempa Lombok. (Gambar: Sonny Tumbelaka/AFP)

Angka kematian gempa Lombok mencecah lebih 380 nyawa

MATARAM: Gempa bumi yang menggegarkan pulau Lombok di Indonesia meragut nyawa 387 orang sejauh ini, menurut pihak berkuasa pada Sabtu (11 Ogos) sambil menambah bahawa beratus-ratus ribu penduduk yang kehilangan rumah mereka akibat bencana alam itu masih memerlukan bekalan air yang bersih, makanan dan ubat-ubatan.

Gempa berukuran 6.9 pada skala Richter yang melanda Lombok pada Ahad (5 Ogos) memusnahkan berpuluh-puluh ribu rumah, masjid dan perniagaan-perniagaan di merata pulau tersebut, seminggu selepas satu gempa bumi menggegarkan pulau itu dan mengorbankan seramai 17 orang.

"Angka kematian akibat gempa tersebut dijangka akan terus meningkat kerana masih lagi terdapat mangsa-mangsa yang dipercayai terperangkap akibat keadaan tanah runtuhan dan juga di bawah runtuhan. Selain itu, masih juga terdapat mangsa-mangsa yang belum lagi dikesan," kata jurucakap agensi menangani bencana Indonesia Sutopo Purwo Nugroho.

Jumlah penduduk yang terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat bencana alam itu sudah meningkat kepada 387,000 sejauh ini, kata Encik Nugroho, dengan sekitar 13,000 yang dilaporkan cedera.

Bahagian utara Lombok terjejas teruk akibat gempa tersebut, dengan seramai 334 orang terkorban dan hampir 200,000 yang lain terpaksa meninggalkan kediaman mereka, menurut angka rasmi yang terkini.

Gempa itu turut mengorbankan dua orang di pulau peranginan Bali.

Encik Nugroho berkata, tempoh tindak balas kecemasan sudahpun dilanjutkan selama lagi 14 hari bagi membolehkan pihak berkuasa untuk menangani "kebanyakan masalah" yang masih belum dihuraikan.

Kebanyakan penduduk yang kehilangan rumah mereka kini terpaksa tidur di dalam khemah-khemah berhampiran rumah mereka atau di tempat-tempat berteduh sementara, manakala pusat-pusat perubatan sementara juga sudah disediakan bagi merawat mereka yang cedera.

Namun, sesetengah penduduk masih belum menerima bantuan sejak gempa itu menggegarkan Lombok enam hari lalu, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pergunungan di pulau tersebut.

"Masalah utama adalah pengagihan bekalan-bekalan kepada ribuan penduduk," kata Encik Nugroho.

"Kebanyakan jalan raya di Lombok Utara musnah akibat gempa bumi itu."

Lombok terus dilanda ratusan gegaran, termasuk gempa berukuran 5.9 pada skala Richter pada Khamis (9 Ogos) yang menyebabkan orang ramai melarikan diri dari tempat-tempat berteduh tersebut dalam keadaan ketakutan. 

- AFP/AI/ai

Top