Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anak majikan taja pakej haji buat amah

Siapa sangka setelah bertahun-tahun bekerja sebagai pembantu rumah, anak majikan membalas jasa dengan menghadiahkan sebuah pakej umrah yang sudah lama diidam-idamkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Anak majikan taja pakej haji buat amah

Yati (tengah) dengan dua anak majikannya. (Gambar: Wine Fallensky/Facebook)

INDONESIA: Siapa sangka setelah bertahun-tahun bekerja sebagai pembantu rumah, anak majikan membalas jasa dengan menghadiahkan sebuah pakej umrah yang sudah lama diidam-idamkan.

Lebih manis lagi, anak majikan yang dijaga amah bernama Yati selama 24 tahun, menggunakan gaji pertamanya untuk membiayai kos pakej umrah yang terbaik.

Cerita ini dikongsi sendiri oleh anak majikan Yati di laman Facebook di bawah nama 'Wine Fallensky'. Menurut lelaki berkenaan, Yati seorang pembantu rumah yang bekerja keras meskipun sudah memasuki usia senja.

"Beliau sudah tua dan beberapa kali ingin bersara tetapi masih perlu mengirimkan wang untuk anak cucunya kerana keluarganya cukup besar," tulis beliau.

Sejak akhir-akhir ini, Yati semakin uzur dan tidak cergas seperti sebelumnya kerana menghadapi masalah kesihatan. Namun, beliau terus cekal untuk mencari nafkah bagi keluarganya.

"Saya tekad untuk menggunakan gaji pertama untuknya berangkat ke Tanah Suci. Adik pun setuju dan saya kemudian meminta restu dari orang tua," tambah anak majikan Yati.

"Selama 24 tahun ini, tidak pernah sekalipun saya dengar keluhan keluar dari mulutnya."

SEMPAT BERFIKIR ANAK MAJIKAN BERGURAU

Ketika Yati diberitahu beliau boleh memilih pakej umrah yang diiginkan, beliau berfikir anak majikannya hanya bergurau. Apatah lagi beliau disuruh membuat pilihan supaya dapat berangkat dengan segera.

Maka itu, setiap kali ditanya, beliau bersikap acuh tak acuh. Namun, seminggu kemudian, Yati menyedari anak majikannya benar-benar ingin menghantar beliau ke Makkah.

Lantaran itu, beliau membawa risalah yang diberi saudaranya kepada anak majikan yang dijaganya dari kecil.

Matanya terus berkaca-kaca ketika anak majikan yang sudah menganggapnya sebagai nenek angkat itu, memilihkannya pakej yang terbaik.

"Saya langsung pilih pakej yang PALING LENGKAP! Supaya di sana, beliau tidak penat, banyak kemudahan dan tempat penginapannya tidak jauh," tulisnya lagi.

"Saya tidak akan pernah lupa saat beliau memeluk saya."

Yati ketika itu hanya mampu berkata: "Saya doakan, kamu sekeluarga dilimpahi rezeki. Nanti di sana kamu saya doakan."

TAMPARAN HEBAT BAGI JIRAN YANG SINDIR

Menceritakan lebih lanjut, anak majikan Yati berkata, pengasuhnya itu sempat diusik para tetangga lain ketika beliau menceritakan tentang dirinya.

Ramai yang tidak percaya beliau akhirnya dapat mengerjakan ibadah umrah.

"Maka itu, jangan pernah meremehkan sesiapa pun. Jika dilakukan dengan tulus, ikhlas dan setia, pasti akan membawa kebahagiaan dan berkat," tambahnya menerusi catatan Facebook.

Yati selamat berangkat ke Tanah Suci pada 11 November. Empat hari kemudian, anak majikannya memuat naik satu gambar di Facebook di mana Yati kelihatan menikmati masanya di Madinah. Lengkap dengan kaca mata hitam. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan