Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anak arwah juruterbang jet pejuang terkilan tidak dapat beraya dengan ayah

Janji ayahnya untuk membelikan baju raya apabila pulang setelah menjalankan tugas merupakan kata-kata terakhir Mejar Yazmi Mohamed Yusof , 39, kepada anak sulungnya Mikhail Adam Riaz, 11, sebelum terkorban dalam nahas jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Hawk 108 di Chukai, Terengganu.

Anggaran Waktu Membaca:
Anak arwah juruterbang jet pejuang terkilan tidak dapat beraya dengan ayah

Mikhail Adam Riaz tidak menyangka solat berjemaah selepas bersahur awal pagi semalam merupakan detik-detik akhir mereka sekeluarga bersama. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 16 Jun 2017 08:57AM Dikemas Kini : 16 Jun 2017 09:04AM

KUANTAN: Janji ayahnya untuk membelikan baju raya apabila pulang setelah menjalankan tugas merupakan kata-kata terakhir Mejar Yazmi Mohamed Yusof , 39, kepada anak sulungnya Mikhail Adam Riaz, 11, sebelum terkorban dalam nahas jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Hawk 108 di Chukai, Terengganu ketika menjalani sesi latihan pagi semalam (15 Jun).

Mikhail yang merupakan anak sulung daripada enam beradik ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) berkata beliau tidak menyangka solat berjemaah selepas bersahur awal pagi itu merupakan detik-detik akhir mereka sekeluarga bersama.

"Selepas sahur kami bersolat Subuh bersama-sama dan ayah menjadi imam seperti biasa setiap kali balik ke Kuantan. Itu kali terakhir saya berjumpa ayah sebelum menyambung tidur.

"Beliau tidak ada pesan atau apa-apa perangai pelik dan yang saya perasan cuma dia ada kata hendak membawa adik beradik membeli baju raya untuk menyambut Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima lawatan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian malang yang menimpa ayahnya itu melalui panggilan telefon sekitar 1.00 tengah hari semalam.

Walaupun sedih dengan kejadian berkenaan terutama apabila mengenangkan Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi, Milkhail tetap menanam cita-cita untuk mengikut jejak langkah ayahnya sebagai juruterbang pesawat pejuang.

Sepanjang berada di perkarangan Unit Forensik HTAA, Mikhail beberapa kali tidak dapat menahan rasa sedih dan menangis sehingga terpaksa dipujuk oleh Tunku Azizah yang turut tersentuh perasaan dengan keadaan itu.

Keadaan itu menyebabkan anggota keluarga yang hadir di pekarangan Unit Forensik berkenaan tidak dapat menahan perasaan sedih dan turut mengalirkan air mata.

Dua juruterbang jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Hawk 108 Mejar Yazmi Mohamed Yusof TUDM, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari TUDM, 31 dilaporkan hilang di sempadan Pahang-Terengganu sekitar 11.30 pagi semalam ketika sedang menjalani sesi latihan.

Jasad kedua-dua juruterbang berkenaan ditemui pada jarak 20 meter antara satu sama lain dalam keadaan lengkap berpayung terjun di kawasan hutan berpaya berhampiran Chukai, Kemaman sekitar 53 kilometer dari Pangkalan TUDM, Kuantan.

Sumber : Bernama/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan