Images
  • dd
    (Gambar: USGS)

Amaran tsunami digugurkan meski gempa kuat landa Papua New Guinea

SYDNEY: Gempa bumi sekuat 7.0 pada skala Richter menggegarkan pulau New Britain di Papua New Guinea pada Khamis (11 OKt) sekaligus menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan buat seketika sebelum pihak berkuasa menarik balik amaran itu.

Jabatan Geologi Amerika Syarikat menyatakan gempa itu berlaku sekitar 125 kilometer dari timur Kimbe pada kedalaman sekitar 40 kilometer.

Malah, beberapa gempa susulan turut dilaporkan sebelum dan sejurus selepas gempa pertama melanda pada jam 6.48 pagi waktu tempatan.

Kurang dua jam sebelum itu, Indonesia digegarkan oleh gempa sekuat 6.0 pada skala Richter yang menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang maut di pulau Jawa. Gegaran kuat turut dirasakan di Bali.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik awal sebelum ini sudah memberi amaran bahawa tsunami mungkin berlaku di kawasan pantai sekitar 300 kilometer dari pusat gempa.

Bagaimanapun, ia kemudian mengemas kini ramalan tersebut: "Berdasarkan semua maklumat yang ada, amaran tsunami ditarik balik."

- CNA/NA/na

Top