Ahok ucap tahniah kepada bakal Gabenor Jakarta, Anies Baswedan
Menyusuli kekalahannya dalam pusingan kedua pemilihan Gabenor Jakarta semalam (19 Apr), Encik Basuki siang tadi bertemu bakal penggantinya, Encik Anies Baswedan.
JAKARTA: Menyusuli kekalahannya dalam pusingan kedua pemilihan Gabenor Jakarta semalam (19 Apr), Encik Basuki siang tadi bertemu bakal penggantinya, Encik Anies Baswedan.
Mereka membincangkan soal pemindahan kuasa pentadbiran Jakarta.
Encik Basuki mengaku kalah berdasarkan keputusan hasil hitungan pantas dari 10 syarikat tinjauan pendapat.
Semua hasilnya menunjukkan Encik Anies menang dengan memperolehi antara 55 peratus hingga 58 peratus undi manakala Encik Basuki antara 42 peratus hingga 45 peratus.
Encik Basuki mengucapkan tahniah kepada Encik Anies dan menyeru rakyat Indonesia supaya kembali bersatu.
Encik Basuki berkata: "Kami ingin semua lupakan persoalan selama berkempen dan pilihan raya kerana Jakarta ini rumah kita bersama, kita bangunkannya bersama."
Encik Anies pula berkata: "Kita akan terus bersahabat, kita akan terus berteman. Pak Basuki, Pak Djarot adalah putera terbaik bangsa Indonesia yang sudah mengabdi dan kita akan terus bekerjasama meneruskan pengabdian bagi Indonesia bersama-sama."
Kemenangan besar Encik Anies, mantan Menteri Pendidikan, di luar dugaan kerana tinjauan-tinjauan pendapat terakhir sebelum pengundian terus menunjukkan persaingan yang amat sengit.
Kiraan kertas undi masih diteruskan dan Suruhanjaya Piihan Raya akan mengumumkan keputusan rasminya awal bulan depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.