Agong pernah tawar Wan Azizah jadi PM, tapi ditolak
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak jawatan Perdana Menteri seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, sebelum ini.
PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak jawatan Perdana Menteri seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, sebelum ini.
Ketua Umum Pakatan Harapan (Harapan), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sultan Muhammad V menitahkan selepas proses penjumlahan undi, Dr Wan Azizah dicadangkan sebagai calon perdana menteri, lapor Sinar Harian.
"Lepas kira undi, Azizah selaku Presiden PKR dapat jumlah kerusi terbanyak dan semua bertanding bawah simbol PKR maka beliau (Azizah) dicadangkan Yang di-Pertuan Agong, ditanya sama ada beliau bersedia untuk menjadi perdana menteri?
"Azizah jawab 'patik tidak bersedia sebab kita (Harapan) dah buat perjanjian dalam Pakatan Harapan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad akan dilantik sebagai Perdana Menteri'," katanya dalam Perhimpunan Merdeka Rakyat di hadapan 5,000 penyokong Harapan seperti ditukil Sinar Harian.
Datuk Seri Anwar menambah, Sultan Muhammad V bertitah jarang ada orang politik ditawarkan peluang besar ini namun menolak atas dasar berpegang pada janji.
"Tapi Azizah minta satu perkara kepada Tuanku, iaitu patik pohon kiranya suami patik dibebaskan segera. Agong bertitah baginda akan melaksanakan permohonan itu dengan segera," ujarnya, menurut Sinar Harian.
"Kami ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebab setelah pegang jawatan telah segerakan proses pengampunan.
"Tapi saya nak ulang, paling berjasa dalam semua ini ialah kebangkitan rakyat Malaysia. Apalah saya tanpa anda. Siapalah saya tanpa saudara saudari, saya tak akan saya kekal, ini sejarah bagaimana rakyat bangkit tentukan hak mereka."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.