Images
  • World

AG tidak mahu peguam biasa-biasa dalam kes Equanimity

KUALA LUMPUR: Peguam Negara (AG) Malaysia hanya memikirkan yang terbaik untuk negara apabila melantik bekas rakan sejawatannya dalam pasukan peguam bagi kes Equanimity, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin, menurut satu laporan Malaysiakini.

"Peguam negara kita yang berpengalaman ialah seseorang yang mementingkan hasil. Maka, beliau hanya mahu yang terbaik dalam pasukannya.

"Beliau tidak akan berkompromi dengan yang biasa-biasa saja.

"Justeru, pelantikan peguam yang dikatakan itu perlu dilihat dari perspektif seperti itu," kata Encik Hanipa Maidin dalam satu kenyataan hari ini (10 Ogos).

Tambah beliau, pelantikan itu - yang dikritik oleh pemimpin Pemuda Umno yang mendakwa mempunyai konflik kepentingan - merupakan budi bicara peguam negara sepenuhnya.

"Maka keputusannya perlu dihormati," kata beliau lagi.

Anggota Parlimen Sepang itu berkata demikian sebagai mengulas tindakan Peguam Negara Tommy Thomas yang melantik Encik Sitpah Servaratnam yang merupakan bekas rakan sejawatannya daripada firma guamannya sebelum ini, bagi menyertai pasukan peguam dalam kes menuntut kapal layar mewah Equanimity.

Malaysiakini melaporkan bahawa kapal layar berkenaan sebelum itu didakwa merupakan hasil dari dana 1MDB.

Tambah Encik Hanipa lagi, pihak yang mengkritik bagaimanapun mempunyai hak menyuarakan kebimbangan mereka kerana ia adalah sebahagian daripada kebebasan bersuara.

"Sudah tentu semua orang mempunyai hak untuk beri pendapat. Ini Malaysia Baru, hak seperti itu perlu dihormati dan dilindungi.

"Ia sebahagian dari kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," kata beliau.

Encik Thomas sebelum ini menjelaskan bahawa pelantikan Encik Sitpah tidak mempunyai konflik kepentingan kerana peguam tersebut tidak menerima sebarang bayaran.

Pemilihannya, jelas beliau adalah berdasarkan rekod Encik Sitpah sebagai "antara peguam perkapalan terkemuka negara dengan pengalaman lebih 25 tahun, selain pernah menjadi pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Admiralti dan Perkapalan Majlis Peguam dan presiden Persatuan Undang-Undang Antarabangsa bagi Undang-Undang Maritim", lapor Malaysiakini.

- Agensi berita/HS/hs

Top