Images
  • landasan kapal terbang singapura
    Gambar hiasan. (Gambar: ROSLAN RAHMAN/AFP)

7 cara jimat wang apabila tempah tiket penerbangan dan hotel

NEW YORK: Sememangnya bercuti ke luar negara memakan belanja yang lebih tinggi. Harga tiket pesawat dan penginapan membentuk kos terbesar dalam sesebuah lawatan itu. Tujuh tips berikut boleh membantu anda menjimatkan belanja bagi cuti selanjutnya.

Dapatkan bonus kad kredit yang lumayan

Blog dan forum online merujuk kepada cara ini sebagai 'travel hacking', 'stacking' ataupun pendaftaran kad kredit berulang. Caranya adalah dengan mendapatkan kad-kad kredit yang memberikan bonus lumayan dan program pulangan wang tunai untuk menebus mata terkumpul bagi percutian anda yang seterusnya.

Pilih terbang pada pertengahan minggu

Harga tiket pesawat lazimnya lebih murah semasa tempoh cuti, tetapi mahal sedikit pada hari-hari sebelum dan selepas hari-hari cuti. Contohnya, pada cuti Krismas, lebih murah untuk terbang pada hari itu sendiri berbanding beberapa hari sebelumnya. Selain kos lebih murah, anda tidak terperangkap dalam keadaan sesak walaupun terpaksa berbuat demikian pada hari cuti umum.

Dapatkan notifikasi harga tiket murah

Wadah-wadah online, seperti Yapta, Hopper dan Google Flights membolehkan anda mencari jadual penerbangan dan menjejakinya menerusi emel atau laman utama firma itu. Anda akan menerima pemberitahuan setiap kali harga tiket turun atau naik.

Jangan bataskan diri kepada satu syarikat penerbangan atau lapangan terbang

Apabila menempah tiket penerbangan ulang-alik, cari bagi tiket-tiket sehaluan yang berlainan dan jika boleh, pada syarikat-syarikat penerbangan berbeza.

Ini memudahkan anda jika perlu membatalkan salah satu penerbangan itu kerana ia mungkin lebih murah untuk membayar yuran pembatalan sehala berbanding menempah semula penerbangan ulang-alik.

Cuba lungsuri laman syarikat penerbangan

Sesetengah syarikat penerbangan luar negara menyenaraikan harga tiket yang lebih murah jika menggunakan laman versi negara itu.

Anda mungkin perlu mendapatkan bantuan khidmat penterjemahan Google. Namun, jika anda mampu melungsuri laman itu dan menempah tiket, ia sekaligus dapat menjimatkan kos.

Hubungi langsung pihak hotel

Meskipun anda boleh menggunakan laman web ataupun aplikasi untuk mendapatkan diskaun, kebanyakan hotel menawarkan harga jauh lebih rendah jika anda membuat tempahan langsung.

Elak acara-acara besar

Harga hotel akan melonjak sekiranya berlangsung sesuatu sidang ataupun acara lain. Maka itu, adalah wajar bagi anda memeriksa untuk melihat apa yang akan berlangsung di destinasi pilihan anda sebelum membuat tempahan. 

- Agensi berita/HS/hs

Top