Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

61 kes keracunan makanan dari kedai jual laksa; 2 kematian disahkan

Sebanyak 42 kes baru keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada memakan laksa yang dibeli di premis di Kupang dilaporkan.

Anggaran Waktu Membaca:
61 kes keracunan makanan dari kedai jual laksa; 2 kematian disahkan

Gambar hiasan hidangan laksa yang dijual di Kedah. (Gambar: myzura.isa/Instagram)

Diterbitkan : 10 Oct 2018 09:24AM Dikemas Kini : 10 Oct 2018 09:31AM

ALOR SETAR: Sebanyak 42 kes baru keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada memakan laksa yang dibeli di premis di Kupang dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan menyatakan bahawa keseluruhan kes yang dilaporkan adalah sebanyak 61 kes. Dua orang meninggal dunia.

"Daripada kes-kes baru yang dilaporkan, 14 daripadanya merupakan dilaporkan di Kedah, tujuh di Perak dan Selangor sebanyak 21 kes. Semuanya mengalami gejala yang sama. Hasil siasatan mendapati semua pesakit memakan laksa yang dibeli dari premis di Kupang Baling Kedah iaitu di premis yang sama seperti dilaporkan oleh kes-kes keracunan makanan sebelum ini," katanya.

Beliau menambah, kes-kes baru yang dilaporkan itu membabitkan keseluruhan 24 kes adalah di Kedah iaitu 16 kes dari daerah Baling, lima kes dari daerah Sik dan tiga dari daerah Kulim manakala 21 kes pula di daerah Hulu Langat Selangor dan 16 kes dari Hulu Perak Gerik.

Katanya sebanyak 21 pesakit dirawat sebagai pesakit dalam iaitu masing-masing lima di Hospital Gerik dan Hospital Pantai Sungai Petani, empat di Hospital Baling, masing-masing tiga di Hospital Sik dan di Pusat Perubatan UKM (PPUKM) dan satu di Hospital Columbia Asia manakala selebihnya 38 pesakit dirawat sebagai pesakit luar dan kesemua pesakit dilaporkan dalam keadaan stabil.

TIADA KAITAN DENGAN DAUN SELADA, POSITIF SALMONELA

Dr Noor Hisham berkata Jabatan Kesihatan Negeri Kedah menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap premis yang menjual laksa tersebut dan siasatan juga mendapati ramuan laksa yang dijual tidak ada kaitan dengan daun-daun selada 'Iceberg' yang tular di media sosial.

Setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu keputusan daripada sampel makanan yang dihantar ke makmal untuk dianalisa.

"Sampel najis daripada dua kes keracunan makanan di Baling adalah positif salmonela dan kajian lanjut penemuan ini sedang dijalankan," katanya.

Sehubungan itu kementerian menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala keracunan makanan dengan tatacara keselamatan makanan perlu dititikberatkan oleh semua pengendali makanan dan orang awam.

Katanya makanan mesti dimakan tidak lebih daripada empat jam selepas penyediaannya dan sekiranya ia perlu disimpan, hendaklah di dalam suhu yang sesuai dan dipanaskan dengan suhu yang mencukupi bagi mengelakkan keracunan makanan.

"Orang ramai juga perlu sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan, serta mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang basi di samping sentiasa mengamalkan kebersihan diri dengan membasuh tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas,” katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan