Images
  • injil
    Tular di media sosial tentang pengedaran kitab Injil di depan sekolah. (Gambar: BERNAMA)

6 NGO M'sia buat aduan polis berhubung pengedaran kitab Injil depan sekolah

KUALA LUMPUR: Enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini (8 Nov) membuat aduan polis berhubung dakwaan pengedaran kitab Injil kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.

Enam NGO itu ialah Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amanah Rahsia Cekal (ARC), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Reformis dan Kipidap.

Aduan polis dibuat oleh Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay dan Presiden Pertubuhan MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah yang mewakili kesemua NGO berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada pukul 3.00 petang tadi.

Encik Amir Amsaa berkata pengedaran kitab Injil berkenaan kepada pelajar selepas waktu sekolah menunjukkan satu tindakan berniat jahat dan tidak menghormati penduduk Islam di negara ini.

"Ia menunjukkan mereka mempunyai niat jahat untuk memesongkan akidah penduduk Islam sekali gus menggugat keamanan dan keharmonian negara ini.

"Justeru, kami menyeru agar Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan dan Jabatan Agama Islam mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang mengedarkan Injil kepada pelajar sekolah," katanya kepada para wartawan selepas membuat laporan polis itu di sini.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata dakwaan berkenaan sedang disiasat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Jabatan Pendidikan Pulau Pinang dan PDRM.

Sabtu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa mengakui terdapat aktiviti pengedaran kitab Injil kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam seperti yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Dr Mujahid berkata perkara itu berdasarkan maklumat yang diperolehnya daripada Jabatan Agama Islam negeri, Jabatan Pendidikan negeri serta Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong.

Kesemua NGO berkenaan turut membuat aduan polis mengenai seorang lelaki Myanmar yang bertindak menyerang anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penyembur lada di Pasar Borong Selayang, di sini pada Sabtu lepas.

Tindakan lelaki berumur 32 tahun itu menyebabkan empat anggota penguat kuasa DBKL yang sedang mencatatkan barang sitaan cedera di mata akibat diserang dengan penyembur lada.

Kejadian itu menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang dan tindakan tegas perlu diambil terhadap pendatang asing yang melanggar undang-undang negara ini, kata beliau.

LAPORAN BERKAITAN:

- BERNAMA/TQ/tq

Top