Images
  • boston fire
    Bangunan terbakar dalam satu letupan di Massachusetts. (Gambar: Boston Sparks/Reuters)

6 cedera susulan lebih 70 letupan, kebakaran

BOSTON: Pemindahan besar-besaran penduduk di beberapa bandar di utara Boston dijalankan selepas puluhan kebakaran dan letupan menggegarkan kawasan-kawasan perumahan.

Sekurang-kurangnya enam orang cedera, dua dalam keadaan kritikal.

Polis Massachusetts menyatakan pihaknya menerima 70 laporan kebakaran dan letupan selain bau gas di kawasan perumahan di bandar-bandar Lawrence, Andover and Andover Utara.

Susulan itu, pasukan bomba dari kira-kira 50 jabatan dikerah ke lokasi kejadian dan mereka mengambil masa selama beberapa jam untuk mengawal kebakaran besar.

Imej di televisyen menunjukkan anggota bomba menggunakan tangga tinggi, mengawal kebakaran marak di rumah di Lawrence dan Andover Utara, terletak 40 kilometer ke utara Boston.

Imej yang disiarkan oleh media di Twitter menunjukkan banyak rumah terbakar atau runtuh.

“Kami meminta semua orang yang rumah mereka ada gas supaya mengosongkan ia sehingga notis seterusnya,” kata pengurus bandar Andover Utara, Andrew Maylor, kepada saluran stesen tempatan.

Ketua pasukan bomba Andover, Michael Mansfield berkata, siasatan awal mendapati kebakaran itu berpunca daripada tekanan melampau pada gas utama milik Columbia Gas of Massachusetts.

Syarikat itu memaklumkan sebelum ini ia akan melakukan kerja menaik taraf di kawasan kejiranan di seluruh negeri Massachusetts termasuk kawasan di mana letupan berlaku.

Dalam satu catatan Twitter, polis berkata syarikat tenaga tempatan terpaksa menutup bekalan elektrik ke kawasan terjejas sebagai langkah berjaga-jaga.

Bandar Andover, dalam kenyataan berkata sekurang-kurangnya tiga cedera dalam kejadian itu.

Pihak berkuasa berkata, tiada tanda menunjukkan sebarang perbuatan khianat.

Media tempatan melaporkan ia kemungkinan disebabkan saluran gas yang pecah. 

- AFP/SU/aq

Top