Images
  • itali rempuhan
    Pegawai kecemasan membantu para mangsa rempuhan di Itali (Gambar: Reuters)

5 remaja, 1 ibu maut dalam rempuhan di Itali

ROME: Sekurang-kurangnya enam orang, kebanyakannya remaja, maut dipijak pada awal Sabtu pagi (8 Dis) dalam rempuhan di sebuah kelab malam di mana sebuah konsert sedang dianjurkan, menurut pihak berkuasa.

Menurut jabatan bomba rempuhan tersebut berlaku di kelab malam Lanterna Azzurra di Corinaldo, dekat Ancona, kawasan pesisir Adriatic.

Para mangsa termasuk lima individu di bawah usia 18 tahun - tiga perempuan dan dua lelaki - serta seorang wanita dewasa yang menemankan anak perempuannya ke konsert itu, menurut laporan media.

Punca berlakunya rempuhan itu tidak jelas namun laporan awal media Itali menyatakan ia susulan berlaku panik apabila para remaja cuba keluar dari kelab tersebut setelah seseorang menggunakan penyembur lada.

"Punca (rempuhan) mungkin disebabkan penyemburan bahan pemedih mata, menyebabkan ramai pengunjung lari bertempiaran dan saling merempuh. Malangnya, enam orang terbunuh dan puluhan lagi cedera," menurut pasukan bomba dalam satu catatan di Twitter.

Para saksi berkata mangsa meninggal dunia selepas terjatuh dari sebuah dinding kecil semasa cuba melarikan diri.

"Kami sedang menari dan menunggu konsert bermula apabila terhidu bahu yang kurang menyenangkan," kata seorang remaja berusia 16 tahun yang dibawa ke hospital.

"Kami berlari ke tempat pintu kecemasan namun ia dihadang, beberapa 'bouncers' arahkan kami kembali ke tempat kami."

Sekitar 1,000 orang, kebanyakannya belia, berada di kelab Lanterna Azzura bagi menyaksikan persembahan artis rap Itali, Sfera Ebbasta.

- Reuters/TQ/tq

Top