Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

4 peserta maraton cedera dilanggar kereta syarikat

Empat peserta program maraton ‘Run Out Pahang 2018’ pada Ahad (11 Mac), cedera selepas dirempuh sebuah kereta urus setia yang memantau peserta acara larian itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
4 peserta maraton cedera dilanggar kereta syarikat

Run Out Pahang 2018. (Gambar: Dusty Monkeys/ Facebook)

Diterbitkan : 12 Mar 2018 12:44PM Dikemas Kini : 12 Mar 2018 12:46PM

KUANTAN: Empat peserta program maraton ‘Run Out Pahang 2018’ pada Ahad (11 Mac), cedera selepas dirempuh sebuah kereta urus setia yang memantau peserta acara larian itu. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata kejadian berlaku pada 8.25 pagi berhampiran Masjid Al-Imam Ash-Shafie, Kota SAS.

Mereka yang cedera ialah Ahmad Fakhri Sulaiman, 31, yang cedera di kepala dan kaki kiri, Chua Yennie, 21, cedera di muka dan kepala, Haslinda Othman, 41, yang luka di kaki dan tangan kiri serta Nurul Huda Ahmad Razali, 33, yang disyaki patah kaki kanan. 

Ahmad Fakhri dan Chua yang menyertai kategori 21 kilometer (km) dan Haslinda peserta 10km, menerima rawatan di Hospital Universiti Islam Antarabangsa (UIA) manakala Nurul Huda dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

"Kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu kereta yang membuat pemantauan peserta dari Bukit Istana ke Kota SAS cuba memperlahankan kenderaan untuk memberi arahan kepada peserta yang keluar dari laluan untuk masuk semula ke laluan ditetapkan. 

"Bagaimanapun, pemandu yang berusia 28 tahun itu hilang kawalan menyebabkan kereta itu masuk ke laluan larian lalu melanggar peserta yang menuju ke lokasi penamat yang terletak kira-kira 250 meter," katanya kepada media hari ini.

ACP Mohamad Noor menambah kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu terlibat sudahpun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi menjalani ujian air kencing.

Beliau juga mengesahkan program larian anjuran sebuah syarikat di Kuala Lumpur yang berpengalaman selama lima tahun dalam program larian itu, mempunyai kelulusan penganjuran Pesuruhjaya Sukan dan Majlis Perbandaran Kuantan.

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan