Images
  • indo
    Seramai 31 pekerja sebuah syarikat pembinaan jalan raya dan jambatan, dipercayai mati ditembak kumpulan pemberontak di Papua. (Gambar: Juni Kriswanto/AFP)

31 pekerja syarikat binaan di Papua ditembak mati

JAKARTA: Seramai 31 pekerja sebuah syarikat pembinaan jalan raya dan jambatan, dipercayai mati ditembak kumpulan pemberontak di Papua.

Menurut media Indonesia, para pekerja syarikat PT Istaka Karya itu ditembak mati kumpulan bersenjata ketika sedang melakukan kerja-kerja pembinaan jambatan di kawasan pergunungan di Kabupaten Nduga, Papua, kira-kira jam 11.00 malam Isnin (3 Dis).

Ketua Hubungan Masyarakat Polis Papua, Encik Ahmad Mustofa Kamal dipetik media Indonesia berkata para pekerja yang sedang melakukan kerja-kerja pembinaan jambatan di Sungai Yigi dan Sungai Aurak itu dilaporkan menimbulkan kemarahan kumpulan itu kerana sudah mengambil gambar anggota kumpulan berkenaan.

Beliau berkata setakat jam 9.00 pagi Selasa (4 Dis), semua mangsa yang terbunuh itu belum dikeluarkan dari kawasan kejadian.

Sementara itu Presiden Indonesia Joko Widodo dipetik siaran televisyen tempatan berkata, pihak pemerintah masih menyiasat kes berkenaan.

"Kawasan itu belum terdapat signal telekomunikasi, tapi kawasan itu sememangnya belum aman (terdapat ramai pemberontak)," katanya.

Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia, Basuki Hadimuljono berkata setakat jam 11.00 pagi Selasa (4 Dis), belum terdapat pengesahan berhubung kejadian itu.
“Pihak tentera sudah ke kawasan berkenaan bagi menyiasat laporan itu, namun kami ingin tegaskan kejadian sedemikian tidak akan menghentikan projek pembangunan infrastruktur di Papua," katanya.

Kejadian tembak itu dipercayai dilakukan kumpulan pemberontak Organisasi Papua Merdeka (OPM). OPM adalah organisasi yang diwujudkan sejak 1965 bagi mendapatkan kemerdekaan wilayah Papua daripada Indonesia. 

- BERNAMA/NA/na

Top