Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 maut, lebih 30 cedera dalam letupan di pusat beli-belah terbesar Sarawak

Tiga orang maut dalam insiden letupan di pusat beli belah CityONE Megamall, di Kuching, Sarawak, petang tadi (4 Dis). Insiden tersebut berpunca daripada letupan gas.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Dec 2018 07:03PM Dikemas Kini : 04 Dec 2018 10:50PM

KUCHING: Tiga orang maut dalam insiden letupan di pusat beli belah CityONE Megamall, di Kuching, Sarawak, petang tadi (4 Dis). Insiden tersebut berpunca daripada letupan gas.

Ketiga-tiga mangsa adalah antara lebih 30 orang yang dilaporkan cedera dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 3.30 petang tadi. Setakat ini, tujuh orang dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan dan Penyelamat, Tiong Ling Hii berkata dua daripada mangsa cedera itu masih terperangkap di dalam runtuhan bangunan.

“Kesemua mangsa lain yang cedera telah dikejarkan ke hospital umum untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau juga berkata jumlah mangsa yang cedera masih belum dapat dipastikan.

Beliau menambah runtuhan bangunan itu berpunca daripada letupan gas yang dipercayai dari salah sebuah kedai makan di pusat beli belah tersebut.

Satu video rakaman CCTV yang dimuat naik ke laman media sosial, menunjukkan detik-detik akhir sebelum letupan berlaku.

Empat lelaki boleh dilihat berjalan di hadapan sebuah kedai yang makan, Nene Chicken, yang sedang diubah suai. Letupan itu berlaku sebaik sahaja lelaki keempat melepasi kedai tersebut.

Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Khirudin Drahman, dua daripada mangsa yang maut merupakan pekerja restoran Nene Chicken yang sedang dalam persiapan bagi hari pembukaannya esok (5 Dis).

Saksi kejadian, Encik George Sting, 39 tahun, memberitahu Bernama: “Ketika kejadian saya sedang membeli pizza di hadapan kedai itu, secara tiba-tiba satu letupan kuat berlaku. 

“Pekerja yang berada di dalam kedai tersebut kemudian lari bertempiaran, ada di antara mereka yang cedera teruk akibat melecur,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.

Cik Grace Lee, 23 tahun, seorang pembantu jurujual di sebuah kedai telko berkata sejurus selepas letupan, pihak pengurusan terus membuat pengumuman kecemasan mengarahkan semua pengunjung keluar dari premis pusat beli belah itu.

Seorang lagi saksi, Cik Wina Simion, 46 tahun, berkata ketika letupan dia nampak meja makan premis tersebut melambung ke siling.

“Ketika itu saya dan keluarga tengah makan, kami terkejut dengar bunyi letupan yang kuat, saya nampak ada meja melambung ke siling di depan mata,” katanya yang masih dalam keadaan terkejut.

CityONE Megamall merupakan pusat beli belah terbesar di Kuching. Ia terletak di persimpangan sibuk antara kawasan perumahan Tabuan Jaya dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, menurut laporan laman Malay Mail.

Menyusuli insiden tersebut, pihak pengurusan CityONE Megamall memuat naik catatan di laman Facebooknya menyatakan bahawa pusat beli belah itu akan segera ditutup buat masa ini. 

Sumber : Agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan