Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 mangsa Gua Tham Luang dapat kerakyatan Thai

Tiga daripada 13 orang yang diselamatkan dari gua Tham Luang akan diberikan kerakyatan Thai dalam tempoh enam bulan ini, lapor agensi berita tempatan The Nation.

Anggaran Waktu Membaca:
3 mangsa Gua Tham Luang dapat kerakyatan Thai

Mangsa yang terperangkap dalam Gua Tham Luang; Pornchai Kamluang (kanan) berdiri di sebelah jurulatih Ekapol Chanthawong dan anggota pasukan Wild Boar yang lain. (Gambar: Dninabila/ Twitter)

Diterbitkan : 14 Jul 2018 01:51PM Dikemas Kini : 14 Jul 2018 01:54PM

CHIANG RAI: Tiga daripada 13 orang yang diselamatkan dari gua Tham Luang akan diberikan kerakyatan Thai dalam tempoh enam bulan ini, lapor agensi berita tempatan The Nation.

12 pelajar dan jurulatih mereka kini dirawat di hospital selepas diselamatkan dalam operasi yang dijalankan selama tiga hari dan berakhir pada Selasa (10 Jul). Kesemuanya ditemui oleh para penyelam Britain selepas terperangkap selama sembilan hari.

Tiga daripada mereka, Pornchai Kamluang, Adul Sam-on dan jurulatih Ekapol Chanthawong, tidak mempunyai kerakyatan, menurut laporan yang menukil kenyataan pengesahan daripada Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Kanak-Kanak dan Belia Thailand.

Pihak berkuasa berjanji akan membantu mereka sepanjang proses pengesahan kerakyatan, lapor The Nation. Mereka akan diberikan kerakyatan jika proses dokumentasi lancar.

Buat masa ini, terdapat sekitar 500,000 orang yang tidak mempunyai kerakyatan di Thailand. Ramai daripada mereka berasal dari kawasan berdekatan sempadan negara ataupun kawasan terpencil di mana akses kepada maklumat tentang prosedur mendapatkan kerakyatan terbatas, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ia boleh mengambil masa sehingga 10 tahun bagi seorang penduduk untuk mendapatkan kerakyatan di Thailand. Ini disebabkan proses pengesahan di negara itu memakan masa panjang di mana kurang pertubuhan pentadbiran tempatan untuk meluluskan permohonan yang banyak diterima.

Proses pengesahan memerlukan para individu memberi bukti bahawa mereka anak kepada pasangan yang berkerakyatan Thai, lapor The Nation yang menukil aktivis hak asasi manusia Surapong Kongchantuk.

Mereka juga boleh membuat permohonan dengan menyerahkan ijazah pengajian tinggi masing-masing, atau meminta permohonan geran khas daripada kerajaan Thailand.

Encik Surapong menambah, tanpa kerakyatan, seorang penduduk tidak mendapat akses kepada hak asasi seperti melancong ke luar negara, mendapat pendidikan tinggi atau pekerjaan dalam beberapa sektor. 

Sumber : CNA/Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan