Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 beradik maut ditetak parang rakan sekerja bapa

Tiga beradik berusia antara dua hingga lima tahun maut selepas ditetak seorang lelaki dipercayai dipengaruhi dadah yang mengamuk di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh di Rungkup semalam (17 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
3 beradik maut ditetak parang rakan sekerja bapa

Gambar fail kereta polis Malaysia. (Gambar: MANAN VATSYAYANA/AFP)

Diterbitkan : 18 May 2018 08:58AM Dikemas Kini : 18 May 2018 09:01AM

BAGAN DATUK: Tiga beradik berusia antara dua hingga lima tahun maut selepas ditetak seorang lelaki dipercayai dipengaruhi dadah yang mengamuk di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh di Rungkup semalam (17 Mei).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Yahya Abd Rahman berkata lelaki terbabit yang merupakan kenalan kepada keluarga mangsa, menceroboh rumah keluarga berkenaan dengan bersenjatakan parang lalu melibas ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan - Nur Ziah Fasihah Mohd Fadzil (2 tahun), Muhammad Firash Zaffril (3 tahun) dan Muhammad Faqhqih Zahirul Haq (5 tahun) - hingga mengakibatkan kematian.

Kejadian berlaku pada sekitar 2.30 petang, di mana ia turut mengakibatkan empat lagi cedera parah, termasuk ibu ketiga-ketiga mangsa, Zuraidah Md Ali, 35, dan kakak sulung tiga beradik itu, Nur Zurin Faziera, 9, seorang murid sekolah yang dikenali sebagai Aina, serta seorang guru sekolah dikenali sebagai Ustaz Ridzuan, 40.

"Ketika itu ketiga-tiga mangsa berada di rumah bersama ibu mereka. Ibu mangsa cedera parah setelah ditetak di bahagian ibu jari tangan kiri, muka dan kedua-dua belah peha," kata SAC Yahya.

Beliau menambah, selepas kejadian pertama, suspek berusia 37 tahun itu menghala ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Muhammad, berdekatan rumah mangsa, dan menyerang tiga lagi mangsa hingga menyebabkan kecederaan kepada mereka.

"Nur Zurin Faziera dan Aina masing-masing cedera dilibas parang di bahagian tangan kanan dan kepala manakala Ustaz Ridzuan luka di pipi kanan dilibas parang," katanya.

Beliau berkata polis berjaya menahan suspek sekitar dua jam kemudian, tidak jauh dari kawasan sekolah itu hasil maklumat orang awam dan sudahpun merampas parang yang digunakan suspek.

"Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan merupakan rakan sekerja bapa mangsa sebagai pemotong sawit. Kita percaya dia penagih yang sedang berhalusinasi kerana kerana ketika pihak polis menahan suspek, dia lepaskan parang kerana takut," kata ACP Yahya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman mulai hari ini (18 Mei). Mayat ketiga-tiga beradik itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk dibedah siasat.

Dalam pada itu, seorang penduduk kampung yang enggan dikenali berkata, lelaki dikenali sebagai Rambo itu dimaklumkan baru sahaja pulang ke kampung berkenaan selepas merantau. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan