Images
  • mina tent air con
    Alat hawa dingin baru dipasang pada khemah di Mina. (Gambar: Saudi Gazette)

20,000 alat hawa dingin baru sesejuk 21°C akan dipasang dalam khemah jemaah haji di Mina

MAKKAH: Para jemaah haji tahun ini dijangka menikmati suhu dalam khemah yang lebih nyaman dan sejuk.

Saudi Gazette melaporkan Kementerian Kewangan Arab Saudi sudah memulakan fasa ketiga dan yang terakhir bagi menggantikan alat-alat penyejuk udara lama dengan alat-alat hawa dingin baru, dalam khemah-khemah untuk para jemaah haji di Mina.

Alat hawa dingin yang canggih dan baru itu, yang menggunakan gas freon berbanding air bagi alat penyejuk udara, akan menurunkan suhu dari 33 darjah selsius kepada sekitar 21 darjah selsius.

Alat baru itu juga hanya menggunakan kuasa elektrik sebanyak lima amper setiap hari, berbanding 12 amper yang digunakan peralatan lama, menurut Saudi Gazette.

Sekitar 20,000 alat hawa dingin baru dijangka dipasang dalam khemah-khemah untuk para jemaah haji di Mina.

Sebanyak 12,500 alat hawa dingin baru dipasang sekitar tiga tahun lalu dalam fasa pertama projek tersebut semasa musim haji tahun 2016.

Para jemaah sudahpun menikmati kemudahan baru itu semasa fasa kedua musim haji 2017, seperti dipetik Saudi Gazette.

Sehubungan itu, Syarikat Elektrik Saudi (SEC) sudah mula menyediakan lebih banyak tenaga elektrik kepada tempat-tempat suci bagi memenuhi permintaan yang meningkat daripada syarikat tempatan haji.

- Agensi berita/IM/im

Top