Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 gadis remaja dilarang naik pesawat dek pakai sarung balut kaki

United Airlines dikecam para netizen setelah ia melarang dua remaja perempuan daripada menaiki pesawatnya di Denver, semata-mata kerana mereka memakai sarung balut kaki.

Anggaran Waktu Membaca:
2 gadis remaja dilarang naik pesawat dek pakai sarung balut kaki

Gambar fail sarung balut kaki.

Diterbitkan : 27 Mar 2017 10:01PM Dikemas Kini : 27 Mar 2017 10:07PM

WASHINGTON: United Airlines dikecam para netizen setelah ia melarang dua remaja perempuan daripada menaiki pesawatnya di Denver, semata-mata kerana mereka memakai sarung balut kaki.

Seorang lagi gadis remaja yang memakai sarung balut kaki bagaimanapun dibenarkan menaiki pesawat itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Denver ke Minneapolis setelah dia menukar pakaiannya itu, kata seorang saksi.

Seorang jurucakap United, Jonathan Guerin, memberitahu New York Times bahawa kedua-dua remaja perempuan yang dilarang menaiki pesawat sudah menukar pakaian dan sedang menunggu untuk menaiki pesawat seterusnya ke Minneapolis. Beliau tidak tahu sama ada mereka dapat menaiki pesawat berkenaan.

Insiden itu dilaporkan di Twitter oleh Shannon Watts - pengasas kumpulan perubahan peraturan senjata api, Moms Demand Action - yang merupakan seorang penumpang di lapangan terbang tersebut yang sedang menunggu untuk naik pesawat ke Mexico.

"Dia memaksa mereka tukar pakaian atau pakai baju labuh untuk menutup sarung balut kaki itu, ataupun mereka tidak boleh naik pesawat," katanya. "Sejak bila @united kawal pakaian wanita?"

"Seorang budak perempuan berusia 10 tahun pakai sarung balut kaki berwarna kelabu. Dia kelihatan normal dan pakaiannya sesuai."

Dengan itu, tercetuslah pelbagai reaksi daripada para netizen dan selebriti yang naik berang hingga menuduh syarikat penerbangan itu bersikap seksis.

"Saya sudah naik United sebelum ini dengan tidak berseluar panjang langsung. Hanya baju sebagai baju dress," kata peragawati Chrissy Teigen dalam tweetnya. "Lain kali saya akan hanya pakai seluar jeans dan skarf."

United Airlines mempertahankan keputusan ejen gerbang itu dalam beberapa tweet.

Ia menegaskan bahawa kedua-dua remaja itu menaiki pesawat dengan pas yang menghendaki mereka menuruti kod pakaian sebagai syarat untuk membuat perjalanan secara percuma atau dengan diskaun.

"Apabila meraih manfaat ini, semua kakitangan dan penumpang yang memegang pas dianggap sebagai wakil United.

"Dan seperti kebanyakan syarikat, kami mempunyai kod pakaian dan kami meminta para kakitangan dan penumpang pemegang pas supaya menurutinya. Para penumpang pagi tadi adalah penumpang pemegang pas United dan mereka tidak mematuhi kod pakaian kami untuk membuat perjalanan atas nama syarikat kami.

"Kepada semua penumpang biasa kami, anda dipersilakan pakai sarung balut kaki," tulisnya.

Sumber : AFP/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan