Images
  • sprm
    Gambar fail. 

2 ahli jawatankuasa pemilihan PKR direman berhubung kes rasuah

ALOR SETAR: Mahkamah Majistret di Alor Setar pada Ahad (16 Sep) mengeluarkan perintah tahanan reman enam hari terhadap dua anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah sebanyak RM20,000 (S$6,630).

Perintah itu dikeluarkan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun dan kes disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kedua-dua lelaki berumur 46 dan 48 tahun itu ditahan SPRM secara berasingan, masing-masing di Plaza Tol PLUS Pendang pada 3.25 petang dan di sebuah restoran di sini pada 12.20 tengah hari pada Selasa.

Menurut sumber SPRM dua suspek yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan parti itu dipercayai meminta suapan tersebut daripada seorang lelaki untuk mengelak nama lelaki berkenaan digugurkan daripada senarai nama calon bagi jawatan Ketua Cabang PKR pada pemilihan kali ini.

Sumber SPRM itu berkata kedua-dua suspek dipercayai masing-masing hanya mengambil RM5,000 (S$1,660) terlebih dahulu daripada lelaki berkenaan semalam.

"Semasa tahanan dibuat kelmarin (semalam), kita rampas RM10,000 (S$3,320) daripada dua suspek ini iaitu masing-masing RM5,000 (S$1,660) ," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Alor Setar hari ini.

- BERNAMA/TQ/tq

Top