Images
  • laksa
    (Gambar fail: BERNAMA)

19 kes baru keracunan hidangan laksa dilaporkan

ALOR SETAR: Jumlah kes keracunan makanan (KRM) yang dipercayai berpunca daripada memakan laksa yang dibeli dari sebuah premis di Kupang, Baling, Kedah pada minggu lalu, kini meningkat kepada 80 kes selepas 19 kes baru direkodkan sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejak Rabu lalu (10 Okt), hanya dua kes kematian dilaporkan akibat kes keracunan berkenaan.

Daripada jumlah kes baru itu, satu kes dilaporkan di Kedah manakala 15 yang lain di Perak dan tiga kes di Selangor, kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini (12 Okt).

"Sebanyak sembilan pesakit masih dirawat di hospital dan kesemuanya dilaporkan dalam keadaan stabil,” kata beliau.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 10 sampel makanan sudah dihantar ke makmal untuk ujian termasuk empat sampel mi laksa, empat sampel kuah laksa dan dua sampel bahan campuran salada untuk laksa.

Menurut Dr Noor Hisham, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu keputusan sepenuhnya ujian-ujian tersebut dan punca sebenar masih lagi dalam siasatan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala keracunan makanan, selain mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis yang bersih serta mengelakkan makanan yang basi.

"Tatacara keselamatan makanan perlu dititik beratkan oleh semua pengendali makanan dan orang awam. Makanan mesti dimakan tidak lebih dari empat jam selepas penyediaannya.

“Sekiranya ia perlu disimpan, hendaklah di dalam suhu yang sesuai dan dipanaskan dengan suhu yang mencukupi bagi mengelakkan keracunan makanan," tambah beliau.

LAPORAN BERKAITAN:


- BERNAMA/AI/ai

Top