Images
  • singapore genting
    Kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dari Singapura ke Genting Highlands. (Gambar: Bernama)  

1 maut, 5 cedera kemalangan bas ekspres dari S'pura ke Genting Highlands

SEREMBAN: Seramai 15 penumpang sebuah bas ekspres berhadapan detik mencemaskan selepas bas yang dinaiki dari Singapura menuju ke Genting Highlands, Pahang terlibat dalam kemalangan.

Kemalangan yang berlaku pada pukul 11.53 pagi di Kilometer (KM) 269 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran jalan susur keluar Bandar Ainsdale mengakibatkan seorang maut, manakala lima lagi cedera selepas bas yang dinaiki melanggar belakang sebuah lori.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis, ketika dihubungi berkata mangsa yang maut adalah seorang penumpang wanita yang dipercayai tercampak keluar dari bas berkenaan.

Lima yang cedera adalah tiga penumpang serta pemandu bas berkenaan dan seorang kelindan lori.

"Dalam kejadian itu, pemandu bas tersepit di bahagian pemandu manakala terdapat seorang wanita tercampak keluar ke atas jalan raya dari tingkat dua bas berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

"Selain itu, 15 penumpang lain terselamat termasuklah pemandu lori berkenaan yang tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya hari ini (7 Dis).

Encik Norazam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.35 pagi dan seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Seremban dan Senawang dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, mangsa yang maut dan kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar bagi bedah siasat dan rawatan lanjut.

- BERNAMA/AI/ai

Top