Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Terbang burung 'free fly': idea kegiatan baru di taman kejiranan?

Sedang kegiatan seperti menerbangkan dron atau bermain layang-layang mungkin suatu aktiviti riadah yang agak lazim di Singapura, #BERITAjelajah ke taman kejiranan baru-baru ini menemui satu lagi kegiatan yang kian menarik ramai peminat, iaitu 'free fly' atau membiar burung peliharaan terbang bebas.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sedang kegiatan seperti menerbangkan dron atau bermain layang-layang mungkin suatu aktiviti riadah yang agak lazim di Singapura, #BERITAjelajah ke taman kejiranan baru-baru ini menemui satu lagi kegiatan yang kian menarik ramai peminat, iaitu 'free fly' atau membiar burung peliharaan terbang bebas.

Beberapa penggiat yang ditemui ketika BERITA jelajah ke Taman Bishan berkata ia suatu hobi yang agak mudah dimulakan, dengan ada yang baru saja mula berjinak-jinak awal tahun ini apabila langkah-langkah COVID-19 menyekat atau menutup sebahagian tempat riadah lain.

APA ITU 'FREE FLY'?

Berbeza dengan burung peliharaan lain yang sering kali dikurung dalam sangkar, burung-burung 'free fly' dilepaskan untuk terbang bebas dan kembali kepada pemiliknya apabila diberi isyarat.

Para pemilik burung sedemikian memberitahu BERITA bahawa semua jenis burung peliharaan boleh dilatih untuk terbang bebas namun prosesnya mengambil masa yang agak lama, bergantung pada hubungan antara pemilik dengan burung peliharaannya.

Seekor burung yang dibela sejak menetas mungkin memerlukan masa sekitar dua atau tiga bulan untuk dilatih terbang bebas.

Namun, jika ia dipelihara sejak usia yang lebih lewat pula masa melatihnya rata-rata boleh mencecah setahun.

Syafiq Kamis

"Saya pernah melatih seekor burung macaw B&G (biru dan keemasan) ini setahun penuh. Saya hitung, genap 365 hari baru boleh free fly, baru saya yakin untuk lepaskan tali," kongsi Syafiq Kamis, 39 tahun, yang sudah empat tahun melatih burung untuk terbang bebas.

Pada masa yang sama, beliau berkongsi tentang seekor burung lain yang dibelinya pada usia burung itu dua tahun dan hanya perlu masa dua minggu untuk terbang.

Semuanya bergantung pada ragam burung itu dan hubungannya dengan si pemilik, katanya.

CARA LATIH BURUNG TERBANG BEBAS

BERITA diberitahu jenis burung yang boleh dilatih untuk terbang bebas tidak terhad kepada spesies-spesies tertentu saja. Namun secara amnya terdapat tiga tahap utama dalam melatih burung itu untuk 'free fly, bermula dengan menjalin hubungan erat antara burung peliharaan dengan pemiliknya.

"Paling penting bagi saya adalah menjalin hubungan kerana tanpa hubungan erat, saya tidak rasa burung itu akan dengar arahan anda," kongsi Muhammad Fyruz Rushdi, 40 tahun.

"Hubungan itu ibarat rasa kepercayaan. Anda perlu dapatkan kepercayaannya."

Kepercayaan antara burung dengan pemiliknya adalah penting.

Setelah ada ikatan yang terjalin antara pemilik dengan burung peliharaannya, burung itu diajar untuk kenal pada arahan 'recall' - atau kembali apabila diberi isyarat tertentu, seperti siulan atau memanggil namanya.

Langkah ini dilakukan beberapa kali, dengan jarak direnggangkan secara bertahap-tahap.

Satu langkah berjaga-jaga agar burung itu tidak terbang meninggalkan pemiliknya semasa tahap ini adalah dengan mengikat tali tangsi yang halus pada kaki burung itu.

Setelah pemilik cukup yakin, barulah burung itu akhirnya akan dibenarkan terbang bebas, sama ada secara bersendirian ataupun bersama burung-burung lain.

Para penggiat di Taman Bishan itu berkongsi bahawa lazimnya mereka akan menghabiskan sekitar dua atau tiga jam di taman.

Dalam tempoh itu, burung-burung mereka dibenarkan terbang pada waktu yang berbeza-beza mengikut ragam dan stamina burung itu sendiri.

BEZA DENGAN PELIHARA BURUNG UNTUK ADU SUARA

Meskipun ada cabarannya tersendiri, sebilangan penggiat berpendapat bahawa melatih burung untuk terbang bebas mudah sedikit berbanding dengan membelanya untuk beradu suara.

"Tahap (penjagaan burung adu suara) tinggi supaya burung itu boleh dapat masuk pertandingan. Jadi penjagaannya itu, hari-hari nak kena mandikan, kena jaga makan. Macam burung terbang bebas ini, ia lebih mudah sedikit," kongsi Syafiq.

Ini mungkin salah satu daya tarikan kegiatan terbang bebas itu sehingga para penggiat makin kerap dilihat di kawasan-kawasan kejiranan – sama ada secara berseorangan atau dengan berkumpulan.

"Memang semakin popular, dan semakin ramai orang. Ramai orang beli dan latih burung-burung freefly ini. Dan semakin banyak tubuhkan kumpulan-kumpulan kecil," kata Syafiq. "Memang seluruh pelusuk Singapura ini, setiap estet mesti ada satu kumpulan sebegini."

"Kami semua ini berjiran. Dahulu semua sama-sama minat e-skuter. Tapi sejak e-skuter dilarang dan sejak COVID-19 baru kami cuba hobi baru ini. Baguslah dapat jiran semuanya sekaki," kongsi Fyrus sambil tertawa, merujuk kepada kumpulan tidak rasmi yang ditemui di Taman Bishan itu.

Fyrus bersama keluarganya.

KOMITMEN PELIHARA HAIWAN JANGAN DIAMBIL MUDAH

Dari segi kos pula, BERITA difahamkan bahawa ia berbeza-beza bergantung pada jenis burung. Sedang perbelanjaan bulanan setiap ekor burung adalah dalam lingkungan ratusan dolar, jurang harga burung pula lebih luas - hingga mencecah ribuan dolar!

Walaupun kegiatan terbang bebas tampak menarik dan menghiburkan, Syafiq menekankan bahawa menjaga haiwan peliharaan adalah tanggungjawab yang berat.

Bagi yang ingin berjinak-jinak dengan kegiatan itu, beliau menasihatkan agar mereka timba ilmu dahulu dan membuat kajian sewajarnya.

"Sebab lain-lain burung, lain-lain karakter. Jadi kita kena faham karakternya. Jangan sampai seperti contoh, kita tak tahu burung ini karakternya suka buat bising. Jadi nanti bila sudah beli – ‘Alamak burung ini bising!’ Kemudian jaga sekejap, jual. Itu yang selalunya terjadi bila kita tak sangka apa karakter burung-burung itu. Jadi yang paling penting, sebelum mula, buat kajian dulu," nasihat beliau.

Dengan tahap komitmen dan kesabaran yang tinggi,nikmatnya apabila melihat burung itu terbang bebas dan kembali kepada si pemilik, tiada tolok bandingan.

Jadi dalam satu hari itu, saya latihnya dua kali. Dengan masa yang sudah diluangkan untuk latihnya, bila dapat hasilnya itu, memuaskanlah," kongsi Syafiq secara jujur.

"Macam kita belajar untuk peperiksaan, kan? Bila di penghujungnya kita lulus dengan cemerlang, kita dapat kepuasan. Sama ajalah itu kepuasannya." 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan