Images
  • silat main
    (Gambar: BERITAmediacorp/Izwan Ohtman)

Zuhairah kecewa gagal pertahan takhta, janji kembali lebih baik

SUBIC BAY: "Saya janji saya akan kembali lebih baik lagi."

Demikian jaminan srikandi Singapura Nurzuhairah Mohd Yazid selepas gagal membawa pulang pingat Sukan SEA ke-30 di hari kedua pencak silat dipertandingkan.

Wakil negara dalam kategori seni tunggal itu masuk gelanggang sebagai juara bertahan tapi kecundang di tangan lawan yang lain.


(Gambar: BERITAmediacorp/Izwan Ohtman)

"Saya memberikan seratus peratus tapi rezeki tak ada di situ. Adat pencak silat ada kalah ada menang.

"Apapun keputusan yang saya raih tidak akan menjatuhkan semangat saya. Dari situ, saya akan bangkit dari pengalaman ini dan tampil lebih kuat," kata beliau yang menduduki tempat ketujuh dengan 440 mata.


(Gambar: BERITAmediacorp/Izwan Ohtman)

Puspa Arum Sari dari Indonesia menjuarai acara dengan kutipan 467 mata disusuli oleh pesilat tuan rumah Mary Francine Cezar Padios yang mencatat 454 mata, tiga di depan wakil Brunei Anash Najihah Abdullah.

Dalam pertandingan pra-Sukan SEA bulan lalu, Zuhairah yang juga johan dunia menundukkan para pesilat tersebut. Malangnya, kali ini, keputusan tidak memihak kepada individu 21 tahun itu.

"Saya telah membuat persembahan sebaik mungkin tapi nampaknya pesaing lain lebih baik hari ini."

SEBAK TAHAN KECEWA

Sebaik saja keputusan diumumkan, anak sulung tiga beradik itu terus ke tempat duduk penonton untuk memeluk ibunya yang turun padang bersama bapa dan adik lelakinya.

Sebak menahan rasa kecewa, Zuhairah berkongsi dengan BERITAmediacorp pengorbanan beliau sepanjang dua tahun ini.


(Gambar: BERITAmediacorp/Izwan Ohtman)

"Saya banyak berkorban dari 2017 sehingga sekarang. Saya selalu dapat luangkan sedikit saja masa bersama keluarga.

"Namun, sokongan yang mereka beri kepada saya dan juga sokongan yang saya dapat daripada rakyat Singapura memberi saya semangat."

Perjuangan srikandi tanah air kita tidak berakhir di sini. Kurang beberapa minggu lagi, beliau sepasukan bakal ke China pula bagi Kejohanan Asia.

Zuhairah jamin akan memanfaatkan peluang menebus kekalahan dan mengharumkan nama ibu pertiwi.

"Saya akan buktikan saya lebih baik di pertandingan selanjutnya!" 

LAPORAN BERKAITAN:


Ikuti liputan Mediacorp bagi Sukan SEA ke-30 dan dapatkan laporan paling meluas Team Singapore melalui empat saluran LIVE di Toggle. Lungsuri toggle.sg/seagames2019 bagi butiran lanjut.

- BERITAmediacorp/SM/ha

Top