Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Yasir Hanapi pimpin skuad negara untuk baki kempen kelayakan Piala Dunia 2022

Pemain tengah Yasir Hanapi mengambil alih tugas sebagai kapten pasukan bola sepak Singapura Kelayakan Piala Dunia 2022, menggantikan Hariss Harun yang mengundurkan diri atas sebab-sebab peribadi.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pemain tengah Yasir Hanapi mengambil alih tugas sebagai kapten pasukan bola sepak Singapura Kelayakan Piala Dunia 2022, menggantikan Hariss Harun yang mengundurkan diri atas sebab-sebab peribadi.

Naib Kapten Safuwan Baharuddin pula tidak menyertai skuad kerana cedera.

Skuad kebangsaan kita akan menentang pasukan Palestin Jumaat ini (4 Jun).

PASUKAN AKHIRNYA PENUH, GIAT BERLATIH

Kesemua 24 pemain pasukan nasional turun padang bersama, buat pertama kalinya, di Stadium Al Hilal di Riyadh pada Selasa (1 Jun).

Ia hanya dua hari sebelum perlawanan menentang pasukan Palestin akan berlangsung pada Khamis (3 Jun).

Pemain paling senior pasukan nasional, Baihakki Khaizan, 37 tahun, adalah pemain terakhir yang tiba di Riyadh setelah menyambut kelahiran anaknya yang keempat pada minggu lalu.

Sejak tiba di Riyadh, barisan pemain negara itu sudah menjalani dua sesi latihan penuh untuk mempersiapkan diri untuk pusingan kelayakan Piala Dunia yang seterusnya.

Para pemain juga berlatih selama dua jam setiap petang untuk memperbaiki lagi teknik, tahap intensiti serta corak permainan.

YASIR HANAPI PIKUL TANGGUNGJAWAB JADI KAPTEN PASUKAN

Pasukan negara kini akan diketuai Yasir Hanapi, 31 tahun.

Yasir juga merupakan kapten bagi kelab Tampines Rovers FC, sudah mewakili negara sebanyak 37 kali dan menyumbangkan 1 gol.

Pada Isnin lalu, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengeluarkan kenyataan bahawa kapten pasukan Hariss Harun, 30 tahun, tidak akan menyertai skuad negara di Riyadh atas sebab peribadi dan keluarga.

Hariss memberitahu FAS bahawa beliau kecewa kerana tidak dapat menyertai pasukan negara untuk baki perlawanan yang amat penting.

"Saya mempunyai kepercayaan dan keyakinan dalam para pemain kita untuk menunjukkan persembahan yang baik dan pulang dengan keputusan yang baik. Terdapat ramai ketua di dalam pasukan itu dan saya akan menyokong dari tanah air," ujar Hariss.

Hariss Harun sebelum ini sudah menyarung jersi negara sebanyak 101 kali.

PEMAIN-PEMAIN BERBAKAT PERJUANGKAN NAMA NEGARA

Antara pemain yang akan berkhidmat untuk baki tiga perlawanan pusingan kelayakan ini adalah Idraki Adnan, 22 tahun.

(Gambar: FAS)

(Gambar-gambar: FAS)

Pemain tengah pasukan Hougang United FC itu merupakan pemain terbaru yang diundang ke dalam skuad negara untuk pertama kalinya.

Menurut Idraki beliau terkejut apabila mendapat panggilan tersebut kerana menganggap dirinya masih agak baru dalam kerjaya bola sepak.

Menurut jurulatih Tatsuma Yoshida, Idraki merupakan penyerang yang "menarik" dan berikan mereka pilihan di bahagian sayap.

"Saya ingin bermain bersama mereka dan mempelajari cara-cara mereka bermain lebih-lebih lagi di perlawanan antarabangsa. Saya tidak pernah terlibat dalam pasukan nasional jadi ini akan menjadi pengalaman baik untuk saya, walaupun kalau dapat melihat mereka bermain sahaja, dan juga untuk bermain dalam pasukan negara. Jadi banyak untuk saya pelajari kerana saya masih muda lagi." kata Idraki kepada BERITAmediacorp.

Idraki menambah bahawa pasukan Singapura mempunyai ramai pemain yang berkebolehan dan amat serasi apabila bermain bersama.

"Saya harap dapat menyesuaikan diri pada corak permainan mereka secepat mungkin dan jika saya dapat melakukan itu, ia akan menjadi lebih mudah untuk bermain dengan cara saya sambil menepati mutu permainan pasukan ini. Saya ingin bermain dengan baik dalam pasukan ini dan menjadi berkesan dalam mengambil peluang untuk jaringkan gol," tambah Idraki.

Beliau juga akur kerana dirinya masih muda, dia mampu untuk memberikan tenaga yang lebih untuk pasukannya.

Dan tentunya semua pemain dalam skuad nasional handal-handal belaka kata Idraki

Antaranya - anak-anak lagenda bola sepak tempatan, Fandi Ahmad

Irfan Fandi, Ikhsan Fandi dan Ilhan Fandi juga dipilih.

Namun, Ikhsan terpaksa mengundurkan diri kerana mengalami kecederaan.

Ilhan Fandi, 18 tahun, pernah bermain untuk pasukan negara bawah 16 tahun, dan kerap bermain untuk pasukan Young Lions di Liga Perdana Singapura sebagai penyerang.

Ilhan berkata: "Peluang ini sangat bermakna buat saya dan keluarga kerana sejak saya kecil lagi, impian saya untuk bermain untuk pasukan negara. Kini, saya berada di sini. Saya berharap saya akan diberi peluang untuk bermain. Saya sangat gembira dan saya akan memberikan 100%."

Abangnya, Irfan Fandi, 23 tahun rasa cukup bangga dapat diundang beraksi dalam pasukan negara bersama adik-adiknya.

(Gambar: FAS)

"Ia semestinya berita baik apabila seorang lagi adik diundang ke dalam pasukan. Oleh itu, kami sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk Singapura dan itulah tujuan utama keluarga kami. Pada masa yang sama menjaga nama baik bapa saya,"kongsi Irfan kepada BERITAmediacorp.

"Saya rasa ia adalah satu keistimewaan besar bagi kami untuk dapat ke luar negara terutamanya pada masa-masa ini. Ia adalah masa yang sangat sukar bagi ramai orang, dan bagi kami, kami dapat keluar dan bermain untuk negara kami. Oleh itu, kami harus menggunakan masa dan peluang ini untuk bermain untuk negara kami dengan sebaik mungkin," tambah Irfan lagi.

TIDAK MUSTAHIL UNTUK MARA KE PUSINGAN KETIGA KELAYAKAN PIALA DUNIA 2022

Meskipun pasukan Singapura mempunyai ranking FIFA terendah di tempat ke-159, ia kini menduduki tempat ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata selepas lima perlawanan.

Pasukan Singapura kini mempunyai rekod dua kemenangan, dua kekalahan dan satu seri.

Singapura semestinya mengatur strategi terbaik untuk cuba mengutip mata penuh apabila berdepan dengan pasukan Palestin, Uzbekistan dan Arab Saudi nanti.

"Saya rasa jurulatih kami Tatsuma Yoshida sudah mempelajari strategi pasukan-pasukan lain dengan amat baik. Beliau mempunyai rancangan untuk setiap perlawanan. Mungkin bagi perlawanan menentang Palestin, beliau tahu mereka merupakan pasukan yang kuat, jadi kami mungkin perlu mempertahankan perlawanan lebih banyak daripada biasanya," jelas Irfan:

Menurutnya lagi, cuaca di Arab Saudi juga memainkan peranan penting bagi setiap perlawanan.

"Dengan bahang di sana, kami juga akan mempertimbangkan tahap kecergasan kerana kita tidak akan dapat sentiasa memberikan tekanan kepada pasukan lawan bagi seluruh 120 atau 90 minit perlawanan," ujar Irfan.

Di samping itu, Idraki pula berkata bahawa pasukannya perlu lebih bijak dalam mengawal corak permainan nanti.

"Saya rasa cara permainan kami, kami boleh menggunakan kepintaran kami dalam permainan, gunakan kepantasan para pemain juga kerana semestinya, para pemain pasukan lawan lebih besar daripada kami dari segi saiz badan," kata Idraki.

Irfan memberitahu BERITAmediacorp ada peluang bagi pasukan negara untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Saya rasa kami perlu memberikan yang terbaik buat saat ini dan memberi fokus kepada setiap perlawanan. Saya rasa pelaung sentiasa ada, ia bergantung kepada sejauh mana kami inginkannya dan berapa baik prestasi kami dalam perlawanan-perlawanan nanti," kata Irfan.

Singapura akan menentang Palestin pada 4 Jun, Uzbekistan pada 8 Jun dan bertarung pula dengan Arab Saudi pada 12 Jun.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan