Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Wira umat Islam dalam dunia bola sepak England

Tanpa dirancang, persaingan sengit industri bola sepak di England kini diwarnai watak-watak yang disatukan oleh akidah, menurut laporan Malaysiakini.

Anggaran Waktu Membaca:
Wira umat Islam dalam dunia bola sepak England

Gambar: Mohamed Salah/Facebook

Diterbitkan : 27 Feb 2018 11:41PM Dikemas Kini : 27 Feb 2018 11:43PM

LONDON: Tanpa dirancang, persaingan sengit industri bola sepak di England kini diwarnai watak-watak yang disatukan oleh akidah, menurut laporan Malaysiakini.

Buat masa ini, nama yang berada di tempat teratas ialah pemain yang digelar Egyptian King, Mohamed Salah. Ia diikuti Paul Pogba yang bermain untuk Manchester United, serta Mesut Ozil (Arsenal).

Salah kini menjadi salah satu pemain terbaik dibeli Liverpool bagi mengharungi saingan EPL musim ini.

Pertengahan Feb lalu penyokong Liverpool menyeru dan memuja nama Salah di dalam kelab malam selepas The Kop membenam kelab Portugal, FC Porto 5-0 dalam saingan Liga Juara-juara.

Mereka juga mengubah suai lirik lagu Sit Down dendangan kumpulan James:

“If he’s good enough for you
he’s good enough for me
If he scores another few
then I’ll be Muslim too.

“He’s sitting in the mosque
that’s where I want to be."

Kehadiran pemain Muslim itu bukan sekadar memberi impak kepada sokongan masyarakat dunia kepada saingan EPL yang diketahui begitu sengit.

Ia juga membayangkan toleransi serta keterbukaan masyarakat Eropah kepada penganut Islam, menurut laporan Malaysiakini itu lagi.

Perkembangan itu berlaku ketika satu demi satu insiden berlaku dan memberi imej buruk kepada agama berkenaan.

Sebelum ini, dunia bola sepak dibayangi isu perkauman dengan pemain berkulit hitam sering menjadi mangsa ejekan serta cemuhan masyarakat kulit putih.

Pada 1970-an dan 1980-an bola sepak di England diwarnai sikap prejudis serta kebencian terhadap masyarakat kulit berwarna.

Kemudian muncul pemain penyerang England dan West Brom Albion, Cyrille Regis. Walaupun bermain untuk England Regis lahir di French Guiana.

Dialah sebahagian daripada pemain bukan kulit putih yang menjadi pelopor kepada gerakan yang menganggp kebencian berdasarkan kepada warna kulit adalah kejahatan yang tidak boleh diterima.

Kini, di atas padang aksi berdoa sebelum perlawanan, sujud selepas menjaringkan gol atau berakhir sesuatu perlawanan bukan lagi aneh di England.

Selain Pogba, Ozil dan Salah, ada ramai lagi pemain beragama Islam diberi keyakinan beraksi bersama kelab di EPL.

Malah di kalangan penduduk England mereka mendapati Salah adalah Muslim tipikal. Dia beramal dengan Islam sebaik mungkin.

Selain bekerja keras untuk mendapat apa yang ada padanya hari ini, Salah selalu menyumbang kepada masyarakat serta komited mahukan keamanan dinikmati - sama ada di seluruh dunia, apa lagi di negara asalnya, Mesir.

Secara peribadi, dia juga dilihat taat beragama bersama dua lagi rakan sepasukannya Sadio Mane - yang juga anak seorang imam di Senegal - serta Emre Can.

Berbanding pemain lain yang melompat, berlari ke arah penyokong atau berguling-guling di atas padang, mereka lebih senang melakukan sujud selepas menjaringkan gol.

Pogba pula dikenali ramai kerana mendermakan sebabagian besar gajinya untuk pertubuhan amal. Langkah sama juga dilakukan pemain kebangsaan Algeria, Riyad Mahrez.

Mahrez, 27, adalah seorang daripada pemain kelab Leicester yang mencipta sejarah gemilang menjuaral EPL pada musim 2015/16 lalu.

Nama-nama lain yang memeriahkan saingan EPL ialah N’Golo Kante (Chelsea) Yaya Toure (Manchster City), Mamadou Sakho (Crystal Palace) dan Islam Slimani (Newcastle).

Aktivis dan penulis Nabila Ramdani berkata bahawa pemain beragama Islam yang ada di England boleh dianggap sebagai suri teladan bagi industri sukan yang bernilai berpuluh bilion setiap tahun itu.

Katanya ketika sebahagian pemain tampil megah menunjukkan tatu atau fesyen rambut masing-masing, sesetengah yang lain pula memaparkan gambar mereka membaca al-Quran, mengerjakan haji atau ibadat lain.

Kata Cik Nabila, ia bercanggah dengan kecenderungan penyokong kumpulan Football Lads Alliance (FLA) yang bersatu atas perasaan benci kepada orang Islam.

FLA, katanya, masih gagal bergerak keluar daripada era mengejek pemain kulit berwarna dengan bunyi seperti monyet, kata-kata nista serta melontar objek ke arah pemain yang dibenci.

"FLA biasanya bersama-sama kumpulan English Defence League yang kononnya setia kepada pasukan keselamatan England, namun ramai anggota mereka memenuhi penjara atas pelbagai kesalahan jenayah, termasuk keganasan melampau," katanya dalam berpengaruh, The Guardian.

Cik Nabila turut mengatakan bahawa kehadiran pemain Muslim dalam saingan EPL juga mematikan tuduhan bahawa sikap ekstremis hanya dihasilkan oleh satu agama.

"Mereka sama sekali enggan mengakui pembunuh dan pengganas juga dilakukan oleh orang kulit putih yang radikal dan tidak berlengah menyalahkan Islam sebaik saja ada peluang berbuat demikian," katanya. 

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan