Images
  • west ham win liverpool
    (Gambar: Facebook/West Ham United)

West Ham tamatkan rekod tanpa kalah Liverpool dengan kemenangan yang tidak dapat dilupakan

LONDON: West Ham United membuktikan mereka layak kekal dalam empat tangga teratas Liga Perdana England apabila mereka mengalahkan Liverpool 3-2 di Stadium London pada Ahad (7 Nov).

Kemenangan West Ham itu menamatkan rekod kelab Liverpool, iaitu 25 perlawanan berturut-turut tanpa kalah dalam semua pertandingan, dan mengangkat mereka mendahului anak didik Juergen Klopp ke tangga ketiga.

Perlawanan yang kelihatan sukar untuk Liverpool bermula dengan teruk apabila penjaga gol Alisson, menjaringkan gol ke gawang sendiri selepas empat minit.

Meskipun Liverpool tidak dapat bermain dengan lancar namun ia berupaya menyamakan kedudukan pada separuh masa berkat keajaiban daripada Trent Alexander-Arnold.

Mereka yang menjangkakan Liverpool akan menunjukkan permainan lebih baik dalam separuh kedua ternyata kecewa apabila West Ham terus menguasai perlawanan.

Tendangan Craig Dawson untuk West Ham terkena palang pada awal separuh masa kedua, sebelum Pablo Fornals mengembalikan kedudukan West Ham pada minit ke-66. Kurt Zouma kemudian menanduk sekali gus membawa kepada gol ketiga West Ham pada minit ke-74.

Pemain gantian, Divock Origi mencerahkan sedikit peluang buat Liverpool dengan rembatan pada minit ke-82. Sadio Mane sepatutnya menyamakan kedudukan namun tuan rumah berpegang teguh mengekalkan kemenangan.

Kemenangan keempat berturut-turut buat West Ham melonjakkan mereka kepada 23 mata daripada 11 perlawanan, dengan pasukan Juergen Klopp satu mata di belakang mereka dan The Hammers menuju ke tempoh rehat antarabangsa hanya tiga mata di belakang Chelsea.

- Reuters/TQ/tq

Top