Images
  • warriors fc players
    (Gambar: Facebook/Warriors FC)

Warriors FC bayar pemain S$150,000 daripada S$358,000 gaji tertunggak

SINGAPURA: Kelab Bola Sepak Warriors (Warriors FC) sudah membayar sebanyak S$150,000 kepada separuh skuadnya untuk melunaskan gaji-gaji yang tertunggak, menurut seorang jurucakap jawatankuasa pengurusan kelab tersebut pada Isnin (2 Dis).

Dalam satu kenyataan kepada pihak media, jurucakap itu menambah para pemain dibayar secara berkumpulan, mengikut berapa mendesak keperluan mereka.

"Beberapa pemain yang mempunyai keperluan mendesak sudah dibayar dahulu, manakala yang lainnya bersetuju memberi pihak kelab lebih banyak masa membayar jumlah yang belum dilunaskan," kata jurucakap tersebut.

Warriors FC - kelab paling berjaya dalam Liga Perdana Singapura - dihadapkan pada 7 November dengan 107 dakwaan gagal membayar gaji bulanan kakitangannya tepat pada masa.

Dari Ogos hingga Oktober tahun ini, kelab tersebut didakwa gagal membayar 30 kakitangannya, termasuk pemain dan pihak pengurusan, yang kesemuanya berjumlah S$358,000.

Persatuan Bola Sepak Singapura mengarahkan kelab itu pada Ogos untuk melucutkan pengurus besar merangkap setiausaha kehormat Paul Poh daripada jawatannya, setelah mendapati "kelemahan serius dan berulang" yang gagal ditangani kelab itu.

Warriors FC menyatakan pada Isnin bahawa wang yang dibayar kepada para pemainnya dikumpulkan menerusi pinjaman daripada para anggota jawatankuasa pengurusan.

"Pihak kelab komited untuk memastikan agar semua pemain dibayar apa yang tertunggak secepat mungkin, dan para anggota MC (jawatankuasa pengurusan) berserta GM Paul Poh sedang cuba sedaya upaya untuk mengumpulkan wang bagi memastikan kesemua pemain diberi bayaran yang tertunggak," tambah jurucakap Warriors FC.

Kes akan didengarkan lagi di mahkamah pada 5 Disember. Jika didapati bersalah, kelab itu akan didenda sehingga S$15,000 atas setiap dakwaan.

- TODAY/TQ/tq

Top