Images
  • saudi women stadium
    Wanita Saudi di stadium sempena sambutan hari kebangsaan negara itu. (Gambar: FAYEZ NURELDINE/AFP)

Wanita Saudi tonton perlawanan bola sepak 'live' di stadium buat pertama kali

JEDDAH: Arab Saudi membolehkan kaum wanita memasuki stadium untuk menonton perlawanan bola sepak buat pertama kalinya semalam (12 Jan).

Langkah itu diambil setelah Riyadh, yang sudah lama mengenakan sekatan ke atas wanita, mengumumkan bahawa ia akan menarik balik larangan memandu bagi kaum hawa dan juga membuka semula panggung wayang.

Para penyokong yang terdiri daripada kaum wanita semuanya memakai jubah berwarna hitam, tiba awal sebelum bermulanya perlawanan di stadium Jeddah itu. Sebahagiannya dilihat mengenakan kaca mata hitam dan ada juga yang memakai selendang tanpa niqab.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini mengumumkan beberapa perubahan yang dibuat oleh Putera Mahkota Mohammed Bin Salman sejak tahun lalu.

Perlawanan bola sepak pertama yang ditonton kaum wanita di stadium adalah antara kelab-kelab Liga Perdana Saudi Al-Ahli dengan Al-Batin di bandar Laut Merah, Jeddah.

Sama ada bersendirian ataupun ditemani keluarga, ramai wanita duduk di bahagian yang dikhaskan di Stadium Pearl, Jeddah.

Panel-panel kaca juga didirikan untuk memisahkan antara para penyokong lelaki dengan wanita dan keluarga.

Salah seorang penonton, Encik Saleh al-Ziadi membawa tiga anak perempuannya ke perlawanan tersebut.

"Anak-anak saya masih tidak percaya ini sedang berlaku. Mereka belum lagi menyedari bahawa mereka akan menyokong pasukan kegemaran mereka di stadium ini sendiri," kata beliau.

Keghairahan bagi perlawanan bersejarah itu bermula sebelum pukul 8.00 malam waktu tempatan (12 Jan).

- AFP/NK/nk

Top