Images
  • iran woman football
    Kaum wanita menonton perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 antara Iran dengan Kemboja di stadium Azadi pada 10 Okt 2019. (Gambar: ATTA KENARE/AFP)

Wanita Iran dibenarkan tonton perlawanan bola sepak di stadium selepas 40 tahun

TEHRAN: Ribuan wanita Iran pada Khamis (10 Okt) menyaksikan perlawanan bola sepak secara terbuka buat pertama kali sejak beberapa dekad lalu setelah Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengancam akan menggantung negara itu atas sekatan stadium kontroversilnya.

Para penyokong wanita memasuki Stadium Azadi di Tehran dengan menyelimuti bendera negara berwarna hijau, putih dan merah pada bahu serta kepala mereka untuk menonton perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 antara Iran dengan Kemboja.

Republik Islam itu mengharamkan wanita menonton perlawanan bola sepak lelaki dan juga perlawanan sukan lain di stadium selama hampir 40 tahun hasil pendapat ulama yang mahu melindungi kaum Hawa daripada melihat pemain lelaki yang berpakaian tidak menutup aurat selain berada dalam persekitaran yang penuh kaum Adam.

Bulan lalu, FIFA mengarahkan Iran menarik balik pengharaman itu dan membenarkan penyokong wanita memasuki stadium tanpa sekatan, dengan permintaan tiket menentukan jumlah penonton wanita.

Arahan itu timbul berikutan kematian ‘Gadis Biru’ selepas mangsa itu membakar dirinya bagi mengelak menjalani hukuman penjara selepas dia didapati bersalah mengenakan pakaian lelaki ketika menyamar untuk menonton satu perlawanan bola sepak.

Menurut seorang wartawan AFP, antara 4,000 hingga 4,500 wanita menonton perlawanan tersebut yang juga dihadiri sekitar 6,000 penyokong lelaki.

Pada mulanya, hanya empat bahagian stadium yang dibuka khusus untuk wanita dan ini bersamaan dengan kira-kira 3,500 penonton tetapi hampir 1,000 lagi dibenarkan masuk setengah jalan semasa perlawanan sedang berlangsung.

Agensi berita tempatan IRNA melaporkan 3,500 wanita sudahpun membeli tiket lebih awal sebelum hari perlawanan tersebut.

Meskipun ini bukan kali pertama wanita Iran menonton perlawanan bola sepak di stadium, ini adalah kali pertama mereka dibenarkan untuk membeli tiket.

Di Twitter, para pengkritik menggunakan tanda pagar #WakeUpFiIFA dalam kempen untuk menambah tiket yang diberikan kepada para penyokong wanita.
 

- AFP/FZ/fz

Top