Images
  • kompany mancity
    Vincent Kompany tinggalkan Man City untuk jadi pengurus-pemain Anderlecht. (Gambar: Paul ELLIS/AFP)

Vincent Kompany tinggalkan Man City untuk jadi pengurus-pemain Anderlecht

MANCHESTER: Vincent Kompany mengumumkan pada Ahad (19 Mei) bahawa beliau akan meninggalkan Manchester City setelah 11 tahun merangkul trofi untuk menjadi pengurus-pemain bagi kelab Anderlecht.

Seorang pemain pertahanan warga Belgium, Kompany menyertai City pada 2008 dan membuat sebanyak 360 penampilan, memenangi empat Liga Perdana Inggeris, dua Piala FA, empat Piala Liga dan dua kejuaraan Perisai Masyarakat.

Pemain berusia 33 tahun itu meraih kemenangan di Piala FA pada Sabtu, di mana kapten kelab merangkul trofi setelah City membelasah Watford 6-0 untuk melengkapkan treble domestik.

“Sudah tiba masanya untuk saya pergi. Dan ia musim yang cukup menarik sebagai penutup,” kata Kompany yang menyertai City dari Hamburg.

“Tidak ada apa yang saya rasakan selain rasa terima kasih. Saya berterima kasih kepada mereka yang menyokong saya dalam perjalanan indah bersama kelab istimewa ini.

“Saya tidak akan lupa bagaimana semua penyokong Man City kekal setia bersama saya ketika senang dan terutamanya ketika susah. Anda sentiasa menyokong saya dan memberi inspirasi buat saya untuk tidak berputus asa.

“(Pemilik kelab) Sheikh Mansour mengubah hidup saya dan semua penyokong City di seluruh dunia, terima kasih untuk itu.”

Kompany turut mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan dan pengurus kelab, Pep Guardiola.

“Tanpa rakan sepasukan, saya tidak akan berada di sini hari ini. Khas buat Pep dan kakitangan pasukan, anda luar biasa. Terima kasih!” katanya.

- AFP/NA/fz

Top