Images
  • sukan para asean apg
    Sukan Para ASEAN (APG) di Jakarta pada 11 Okt 2018. (Gambar fail: ARIEF BAGUS / AFP)

Vietnam batal penganjuran Sukan Para ASEAN 2021

KUALA LUMPUR: Vietnam secara rasmi membatalkan penganjuran Sukan Para ASEAN (APG) 2021 di Hanoi, Vietnam yang dijadual berlangsung Disember ini berikutan kebimbangan terhadap aspek kesihatan dan kesukaran membawa masuk peralatan teknikal khusus semasa pandemik COVID-19.

Ini adalah kali kedua APG dibatalkan ekoran pandemik dengan kali pertama melibatkan edisi 2019 di Manila, Filipina.

Persatuan Paralimpik Vietnam (VPA) mengesahkan perkara ini dalam suratnya kepada Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) Mejar Jeneral Osoth Bhavilai. Surat itu ditandatangani oleh Presiden VPA Huynh Vinh Ai.

Menurut pihak penganjur, pembatalan temasya itu adalah berikutan situasi rumit menyusuli gelombang keempat pandemik COVID-19 di Vietnam.

Bagaimanapun, VPA menyatakan pemerintah Vietnam mengekalkan hak penganjuran Sukan SEA ke-31 yang dijadualkan pada suku kedua tahun depan.

“Keputusan dibuat setelah melihat situasi semasa yang memberi kesan terhadap langkah-langkah kawalan COVID-19 terutama kepada golongan rentan komuniti/atlit kurang upaya dari segi risiko pada kesihatan dan keselamatan mereka,” menurut kenyataan itu.

Pihak pengurusan Lembaga Gabenor APSF akan bersidang dalam masa terdekat untuk membincangkan tindakan seterusnya.

“Mesyuarat tersebut tidak hanya akan membincangkan perkara berkaitan pembatalan Sukan Hanoi tetapi akan turut membincangkan hala tuju temasya tersebut berikutan pembatalan dua kejohanan (Manila 2020 dan Hanoi 2021) kerana pandemik,” menurut kenyataan tersebut.

Awal dari itu, Vietnam merancang untuk menangguhkan Sukan SEA dan APG selama setahun semasa mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang diadakan secara maya Jun lalu, namun tidak dipersetujui oleh lapan daripada 11 negara yang mengambil bahagian, termasuk Malaysia.

Sebanyak 11 sukan dijadualkan di APG Hanoi selepas 16 sukan dipertandingkan dalam kejohanan itu di Kuala Lumpur pada 2017.

- BERNAMA/FZ/fz

Top