Images
  • beijing winter olympics 2022 logo
    (Gambar: REUTERS/Tingshu Wang)

USOPC wajibkan vaksin COVID-19 ke atas semua atlit AS di Olimpik Musim Sejuk Beijing

LOS ANGELES: Jawatankuasa Olimpik & Paralimpik Amerika Syarikat (USOPC) pada Rabu (22 Sep) menyatakan semua atlit warga Amerika yang ingin bertanding di Olimpik Musim Sejuk Beijing perlu divaksin terhadap COVID-19.

"Berkuat kuasa 1 November 2021, Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik AS akan mensyaratkan semua kakitangan dan atlit USOPC serta mereka yang menggunakan kemudahan USOPC – termasuk pusat latihan – perlu lengkap divaksin terhadap COVID-19," tulis Ketua Pegawai Eksekutif USOPC Sarah Hirshland dalam satu surat yang dilihat oleh Reuters.

"Syarat ini juga akan dikenakan ke atas rombongan Team USA ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik akan datang."

Cik Hirshland berkata USOPC sebelum ini berharap sekatan COVID-19 akan ditarik balik menjelang hujung Sukan Musim Panas Tokyo yang ditangguhkan akibat pandemik itu. Namun, beliau menambah bahawa hakikatnya, pandemik "masih jauh daripada berakhir."

"Langkah ini akan meningkatkan keupayaan kami untuk mewujudkan sekitaran yang selamat dan produktif bagi atlit serta kakitangan Team USA selain membolehkan kami mengembalikan perancangan, persiapan dan perkhidmatan yang konsisten kepada para atlit," katanya.

Langkah itu mendapat sokongan Majlis Penasihat Atlit dan Majlis Badan Pemerintahan Nasional, katanya. Beliau menambah langkah itu turut diperkukuhkan lagi oleh kelulusan vaksin Pfizer oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan serta mandat oleh pemerintah persekutuan AS baru-baru ini .

Temasya Sukan Beijing bermula pada 4 Februari 2022.

- Reuters/TQ/tq

Top