Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Usahawan S’pura padu tenaga dengan JDT anjur Spartan Stadion pertama di M’sia; rancang banyak lagi inisiatif sukan

Buat julung-julung kalinya, perlumbaan berhalang yang bertaraf antarabangsa, Spartan Race, bakal dianjurkan di Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Buat julung-julung kalinya, perlumbaan berhalang yang bertaraf antarabangsa, Spartan Race, bakal dianjurkan di Malaysia.

Menjelang 5 Jun 2021, seramai 5,000 peserta dijangka akan turun ke padang Stadium Sultan Ibrahim di Johor Bahru untuk menguji kekuatan jasmani dan daya mental mereka bagi mengatasi 20 halangan penuh mencabar semata-mata untuk melintasi garisan penamat.

Sukan lasak ini akan dibawa ke Malaysia setelah syarikat milik usahawan Singapura, MUSE Group, memeterai perjanjian bersama dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC pada 9 Disember lalu untuk menganjurkan acara tersebut di stadium ikonik Harimau Selatan itu setiap Jun bagi tempoh selama tiga tahun akan datang.

“Kami berbesar hati dan teruja dapat menjalin kerjasama ini dan menerima perkenan Tunku Mahkota Johor dalam merealisasikan perjanjian yang menggabungkan dua jenama terkemuka, Spartan Race dan JDT.

“Malah, ia akan mengukuhkan lagi hubungan kami dengan negeri Johor yang kami sedang bekerjasama untuk mengadakan beberapa lagi inisiatif sukan,” dedah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MUSE Group, Riduwan Matni.

Dalam wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp, Encik Riduwan turut mendedahkan bahawa syarikat tersebut sedang berunding dengan salah sebuah stesen televisyen di Malaysia untuk menerbitkan kandungan Spartan Race bagi memperluaskan lagi jenama antarabangsa itu.

(Gambar ihsan: JDT, MUSE Group)

Spartan Race pertama kali dianjurkan MUSE Group pada Oktober 2019 di Kuching, Sarawak setelah mengambil alih lesen rasmi untuk menganjurkan perlumbaan-perlumbaan di bawah jenama tersebut pada bulan Ogos.

Kata Encik Riduwan, perlumbaan yang disifatkan sebagai yang "paling mencabar di Asia Tenggara" itu menerima sambutan yang memberangsangkan. Justeru, pihaknya semakin bersemangat untuk menambah perlumbaan Spartan Race dengan mengadakan versi Stadion di Johor Bahru pula.

ATUR STRATEGI CAPAI KEJAYAAN

Selain Spartan Stadion, pejabat-pejabat MUSE Group di Malaysia dan Thailand juga sedang dalam perancangan untuk menganjurkan sekitar 18 acara sukan berskala besar pada 2021.

Ini termasuk lumba basikal amatur terbesar di dunia, L’Etape oleh Tour de France dan Hari Keluarga Sanrio dengan sebilangan acara tersebut bakal melibatkan sehingga 20,000 peserta.

Dengan itu, syarikat tersebut mengorak langkah setapak lagi untuk mencapai visi Encik Riduwan menjadi salah satu penganjur acara sukan yang terbesar di rantau ini setelah dihambat pandemik COVID-19 sepanjang tahun 2020.

“2020 sepatutnya adalah tahun kami. Pada hujung 2019, kami merancang untuk mengadakan 13 acara pada 2020.

“Namun, sehingga ke hari ini, dengan dua minggu lagi sebelum 2020 berakhir, kami malangnya tidak dapat menganjurkan apa-apa acara,” luah CEO syarikat yang baru ditubuhkan lima tahun lalu itu.

(Gambar ihsan: JDT, MUSE Group)

(Gambar-gambar ihsan: JDT, MUSE Group)

Daripada setakat berpeluk tubuh, Encik Riduwan sepasukan sebaliknya mengambil kesempatan daripada tahun yang sangat mencabar ini untuk mengatur semula strategi perniagaan mereka dengan mempelbagaikan khidmatnya.

Dengan memanfaatkan kekuatan syarikatnya dalam penerbitan dan pemasaran rancangan dan kandungan televisyen, Encik Riduwan membulatkan semangatnya untuk meneroka peluang menceburi bidang-bidang lain selain menganjurkan acara, termasuk menjadi pakar runding untuk syarikat-syarikat lain.

“Sedang kami terus berkhidmat sebagai penganjur acara, kami juga mereka peluang dalam bidang-bidang lain sekali gus membina daya bingkas syarikat ini,” kata beliau.

SPARTAN STADION BUKA TIRAI ACARA LAIN

Menurut Encik Riduwan, pendaftaran bagi perlumbaan Spartan Stadion di Stadium Sultan Ibrahim akan dibuka pada hujung Januari 2021.

Selain menjadi acara pertama seumpamanya dianjurkan di Malaysia, ia juga bakal membuka laluan kepada acara-acara lain yang akan dianjurkan oleh MUSE Group pada bulan-bulan seterusnya.

Oleh itu, beliau berharap landskap negara tersebut akan bertambah baik dan acara-acara sukan yang berskala besar akan kembali dianjurkan pada pertengahan 2021 terutama sekali setelah vaksin COVID-19 mula diagihkan pada suku pertama tahun depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan