Images
  • soccer (3)
    (Gambar: AFP)

Udinese tewaskan Juventus 2-1

MILAN: Seko Fofana menjaringkan gol kemenangan Udinese ketika mengejutkan Juventus 2-1 yang sekali gus menghambat juara bertahan itu daripada menjulang mahkota Serie A yang kesembilan berturut-turut.

Pemain pertahanan pasukan kebangsaan Belanda, Matthijs de Ligt meletakkan Juventus di hadapan tiga minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Ilija Nestorovski bagaimanapun menyamakan kedudukan tujuh minit selepas babak kedua disambung.

Fofana melengkapkan kebangkitan Udinese dengan gol kemenangan dalam masa kecederaan.

Juventus kekal enam mata di hadapan Atalanta yang menduduki tangga kedua dengan baki tiga perlawanan sebelum musim berakhir dan juara bertahan itu berpeluang untuk menjulang Scudetto (trofi Serie A) buat kali ke-36 dalam sejarah pasukan tersebut di padang sendiri jika ia berjaya menewaskan Sampdoria Ahad ini.

"Kami menanggung padahnya atas kesilapan kami sendiri selepas babak pertama yang baik kerana kami terlalu terburu-buru mencari kemenangan.

"Kami membawa permainan ke tahap yang berbahaya dan selepas minit ke-90 kami tewas. Ketika ini daya fizikal dan mental kami terlalu letih," kata jurulatih Juventus Maurizio Sarri.

- AFP/NA/na

Top