Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Tiada tuduhan ke atas bekas pegawai kanan FAS Zainudin Nordin, Winston Lee dalam siasatan salah guna dana: AGC

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) Zainudin Nordin dan Setiausaha Agungnya Winston Lee tidak akan menghadapi tuduhan berkaitan siasatan ke atas dakwaan salah guna dana kelab-kelab bola sepak tempatan, menurut Pejabat Peguam Negara (AGC).

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada tuduhan ke atas bekas pegawai kanan FAS Zainudin Nordin, Winston Lee dalam siasatan salah guna dana: AGC

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 27 Sep 2021 08:06PM Dikemas Kini : 27 Sep 2021 08:12PM

SINGAPURA: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) Zainudin Nordin dan Setiausaha Agungnya Winston Lee tidak akan menghadapi tuduhan berkaitan siasatan ke atas dakwaan salah guna dana kelab-kelab bola sepak tempatan, menurut Pejabat Peguam Negara (AGC).

"AGC baru-baru ini telah mengarahkan Jabatan Ehwal Komersil (CAD) supaya tidak mengambil tindakan lanjut terhadap Zainudin Bin Nordin dan Winston Lee," kata seorang jurucakap AGC pada Isnin (27 Sep) sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

"AGC masih berunding dengan CAD untuk menyemak dapatan siasatan CAD terhadap individu lain dan maka itu tidak dapat memberi komen mengenai kes tersebut pada masa ini," tambah jurucakap itu.

The Straits Times pertama kali melaporkan keputusan AGC pada Ahad (26 Sep).

Zainudin menyandang jawatan presiden FAS dari 2009 hingga 2017. Bekas anggota parlimen itu kini bekerja sebagai ketua pegawai strategi di syarikat makanan dan minuman Iron Chef F&B menurut akaun LinkedIn beliau.

Lee sebelum ini memegang jawatan setiausaha agung FAS dan dilantik sebagai setiausaha agung dan bendahari Persekutuan Bola Sepak ASEAN pada 2019.

Dua lelaki tersebut merupakan antara empat individu yang ditangkap pada 2017 sebagai sebahagian dari siasatan penyalahgunaan dana kelab-kelab bola sepak Singapura.

Dua individu lain yang ditangkap ialah pengerusi Kelab Bola Sepak Tiong Bahru Bill Ng dan isterinya, Bonnie.

Menjelang pilihan raya FAS yang pertama pada 2017, Ng dalam satu sidang media berkata dia telah mendermakan S$850,000 kepada FAS tetapi tidak tahu bagaimana ia digunakan.

Namun Kelab Bola Sepak Tiong Bahru kemudian didapati memberikan derma S$500,000 kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN menerusi FAS.

Pendedahan itu mencetuskan pertikaian antara Lee dan Ng mengenai sama ada mereka tahu tentang urus niaga tersebut.

Tuduhan itu mendorong agensi sukan negara Sport Singapore untuk membuat laporan polis terhadap Tiong Bahru atas dakwaan salah guna dana kelab, di samping percubaan yang dipercayai dilakukan seorang pegawai kanan kelab tersebut untuk menghasut kelab lain supaya menangguhkan atau menghalang penyelesaian audit sehingga selepas pilihan raya FAS.

Pihak polis kemudian menyerbu empat lokasi, termasuk ibu pejabat FAS di Jalan Besar dan tiga kelab yang ada hubung kait dengan Ng - Hougang United, Tiong Bahru dan Woodlands Wellington.

Menteri Ehwal Dalam Negara K Shanmugam pada April tahun ini berkata AGC sedang menyemak dapatan siasatan CAD ke atas dakwaan penyalahgunaan dana.

Beliau turut menambah bahawa tidak wajar untuk memberi komen selanjutnya pada ketika itu, sebagai respons kepada soalan yang diajukan Cik Sylvia Lim (WP-Aljunied) sewaktu sesi parlimen.

Mediacorp telah menghubungi Lee, Zainudin dan FAS untuk mengulas lebih lanjut.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan