Images
  • tokyo olympic 2020 japan
    Lambang Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Jepun (Gambar: REUTERS/Issei Kato)

Tiada bantahan dari rakan kongsi untuk adakan Olimpik tahun ini, kata penganjur Tokyo

TOKYO: Para wakil jawatankuasa penganjuran Olimpik Tokyo 2020 memberitahu wartawan pada Khamis (28 Jan) bahawa tidak ada keraguan atau bantahan dari rakan-rakan kongsinya, termasuk IOC dan persekutuan sukan, mengenai peranan Jepun sebagai tuan rumah temasya yang ditangguhkan kepada tahun ini.

Penganjur Tokyo sedang membuat persiapan untuk acara Olimpik yang dijadualkan bermula pada 23 Julai, meskipun sokongan masyarakat di Jepun bagi temasya itu semakin berkurangan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Presiden jawatankuasa penganjuran Yoshiro Mori telah bercakap dengan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Thomas Bach pada Khamis dan berkata bahawa beliau telah mendapat jaminan dari Encik Bach bahawa Tokyo mendapat sokongan penuh dari semua pihak berkepentingan Olimpik.

"Tiada sesiapa dari mana-mana pun yang mengemukakan pertanyaan atau bantahan (berhubung Olimpik) dan semua orang mahu cepat menjayakan temasya itu," kata Encik Mori mengenai perbualannya dengan Encik Bach.

Encik Mori juga berkata Encik Bach telah meminta para pegawai Tokyo maklumat terkini mengenai program vaksinasi Jepun.

Jepun ketinggalan di belakang kebanyakan negara maju yang lain, dengan vaksinasi pertama tidak dijangka sehingga lewat Februari.

Encik Bach telah menegaskan badan pentadbiran itu tidak menyokong idea atlit-atlit diutamakan bagi vaksinasi sebelum orang-orang yang lebih terdedah kepada ancaman virus tersebut, namun beberapa negara, termasuk Australia dan Israel, telah mula memvaksinasi para atlit.

"Presiden Bach menyatakan harapannya agar ada kemajuan dengan program vaksinasi di Jepun dan seramai mungkin orang, dan secepat mungkin, akan menerima vaksin," kata CEO Tokyo 2020, Encik Muto.

Beliau juga memberitahu para wartawan bahawa pihak penganjur sedang menjalankan simulasi untuk "semua kemungkinan", termasuk senario melibatkan atlit asing yang memasuki dan meninggalkan Jepun.

"Kami yakin bahawa kami dapat menganjurkan acara tersebut tanpa mempertimbangkan vaksinasi sebagai prasyarat," katanya.

- Reuters/TQ/tq

Top