Images
  • bahrain footballer
    Gambar fail pemain bola sepak rakyat Bahrain Hakeem Al Araibi meninggalkan Mahkamah Jenayah di Bangkok, Thailand. (Gambar: Athit Perawongmetha/Reuters)

Thailand salahkan Australia atas penangkapan pemain bola sepak Bahrain

BANGKOK: Thailand hari ini (6 Feb) mempertahankan tindakannya untuk memberkas pemain bola sepak rakyat Bahrain yang berstatus pelarian di Australia, sambil menyatakan bahawa para pegawai hanya menahan pemain itu kerana pihak berkuasa Australia mengeluarkan 'notis merah' Interpol selepas beliau menaiki pesawat ke Bangkok.

Kes Hakeem Al Araibi menerima kritikan antarabangsa sedang sebuah mahkamah di Thailand menimbangkan permohonan ekstradisi dari Bahrain supaya dia menjalani hukuman penjara selama 10 tahun berhubung pemberontakan di Timur Tengah pada 2011. Beliau bagaimanapun menolak tuduhan tersebut.

Araibi diberkas di lapangan terbang antarabangsa Bangkok pada November semasa beliau melakukan perjalanan dari Australia ke negara itu bersama isterinya untuk berbulan madu.

Araibi, 25 tahun, berkata beliau akan diseksa jika dihantar pulang ke Bahrain. Araibi berkata beliau hanya mahu dihantar pulang ke Australia, di mana beliau menetap sejak 2014 dan bermain untuk sebuah kelab bola sepak Melbourne.

Perdana Menteri Australia Scott Morrison sekali lagi menyeru agar Araibi dibebaskan dan dihantar pulang ke Australia, sambil berkata beliau 'terganggu' setelah melihat gambar-gambar Araibi digari dan dipasung apabila beliau tiba di mahkamah bagi satu perbicaraan pada awal minggu ini.

Kementerian Luar Thailand mengemas kini satu kenyataan berhubung kes itu pada awal hari ini (6 Feb), yang menyifatkannya sebagai "dua negara yang sedang bersaing untuk menahan Encik Hakeem".

Australia menyatakan bahawa Thailand "secara tidak langsung" terlibat dalam kes ini selepas biro polis yang menguruskan hal-hal Interpol di Australia memaklumkan pihak berkuasa Thailand bahawa Araibi sudah menaiki pesawat ke Bangkok dan disenaraikan dalam 'notis merah' yang dikeluarkan oleh Bahrain.

"Ia mengambil masa selama beberapa hari selepas Encik Hakeem tiba di sini sebelum pihak berkuasa Australia memaklumkan kami bahawa notis merah itu sudah dibatalkan," menurut kenyataan tersebut.

"Bagaimanapun ketika itu, prosiding undang-undang di Thailand berhubung Encik Hakeem sudahpun dimulakan dan ia tidak dapat ditarik balik," menurutnya.

Peguam Negara Thailand dijadual akan mengadakan taklimat media berhubung kes itu pada lewat hari ini (6 Feb). 

- Reuters/AI/ai

Top