Images
  • esport
    Satu perlawanan esukan (Gambar: Reuters)

Terlalu awal jadikan e-sukan acara pingat Olimpik - IOC

BERLIN: Sebarang perbincangan untuk memasukkan e-sukan sebagai acara pingat pada Sukan Olimpik masih terlalu awal kerana struktur industri permainan elektronik itu sendiri, menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Sabtu (8 Dis).

E-sukan, bahagian kompetitif permainan elektronik, mempunyai sekitar 250 juta pemain di seluruh dunia dalam pasaran bernilai AS$1 bilion (S$1.3 bilion) setahun dan semakin berkembang pesat.

Tahun lalu IOC mengiktiraf e-sukan sebagai aktiviti sukan dan ia akan menjadi acara pingat pada Sukan Asia 2022.

Ia membuat penampilan pertama pada temasya sukan itu sebagai sukan demonstrasi di Sukan Asia Jakarta-Palembang baru-baru ini.

Namun badan Olimpik itu menyatakan, terdapat faktor ketidakpastian dalam industri bagi sukan tersebut dimasukkan ke dalam acara pingat Olimpik.

“Sesetengah permainan e-sukan tidak sesuai dengan nilai Olimpik dan kerana itu kerjasama dengan mereka dikecualikan,” kata IOC menyusuli sidang puncak di Lausanne oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Tambah IOC: “Industri ini dijana atas faktor komersil, sedangkan pertubuhan sukan sebenar adalah berasaskan nilai tertentu.

“Atas sebab itu, perbincangan untuk memasukkan e-sukan sebagai acara pingat Olimpik adalah terlalu awal.”

Tokyo menjadi tuan rumah temasya sukan itu pada 2020 manakala Beijing dipilih menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.  

- REUTERS/SU/tq

Top