Images
  • rafael nadal wimbledon
    Rafael Nadal. (Gambar: AFP/Glyn Kirk)

Tenis: Nadal gagal mara ke peringkat akhir Wimbledon selepas ditundukkan Roger Federer

LONDON: Rafael Nadal gagal mara ke peringkat akhir Wimbledon ke-12 selepas ditewaskan seteru lama, Roger Federer sambil mengakui peluangnya untuk menambah mahkota ketiga kejuaraan di All England Club semakin merosot.

Warga Sepanyol berusia 33 tahun itu berkata perlawanan pada Jumaat tidak berada di prestasi sama ketika beliau kali pertama meraih kejayaan menundukkan Federer 11 tahun lalu.

Nadal yang menang trofi ke-12 Terbuka Perancis pada Jun tewas dengan mata 7-6 (7/3), 1-6, 6-3, 6-4 dalam pertemuan ke 40 pasangan berkenaan.

“Saya sedih dengan kekalahan ini kerana bagi saya ia adalah satu lagi peluang buat saya.

“Tetapi pada masa sama saya mencipta peluang lain untuk berada di peringkat akhir Grand Slam.

“Saya terima kekalahan ini kerana ini bukan hari saya. Saya bermain dalam perlawanan yang hebat. Saya terima dengan positif.

“Tapi dalam masa sama hari ini saya sedih kerana saya tahu bukan selama-lamanya saya mendapat peluang.

“Tahun lalu saya dapat peluang bermain di sini (tewas lima set kepada Djokovic di peringkat separuh akhir), saya mempunyai lagi satu peluang, tetapi saya sekali lagi tidak berdaya meraih kemenangan.”

Dalam pada itu, juara lapan kali Roger Federer akan bertemu juara bertahan, Novak Djokovic di peringkat akhir Gland Slam.

Federer yang berusia 37 tahun adalah pemain ketiga paling tua beraksi di final Grand Slam selepas Ken Rosewall membuat kemunculan di Wimbledon 1974 dan Terbuka Amerika Syarikat ketika berusia 39 tahun.

Djokovic, selaku pilihan utama dan juara empat kali pula mara ke pusingan akhir Wimbledon keenamnya selepas menyingkirkan pilihan ke-23 dari Sepanyol, Roberto Bautista Agut 6-2, 4-6, 6-3, 6-2.

- AFP/NA/na

Top