Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Temasya Olimpik bukan punca lonjakan kes COVID-19 di Tokyo: IOC

Temasya Olimpik yang sedang berlangsung sekarang tidak harus dianggap sebagai bertanggungjawab bagi lonjakan jangkitan koronavirus di Tokyo, kata jurucakap Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC) Mark Adams pada Khamis (29 Jul), menurut laporan penyiar Jepun NHK.

Anggaran Waktu Membaca:
Temasya Olimpik bukan punca lonjakan kes COVID-19 di Tokyo: IOC

Gambar fail: REUTERS

Diterbitkan : 29 Jul 2021 04:09PM Dikemas Kini : 29 Jul 2021 04:10PM

TOKYO: Temasya Olimpik yang sedang berlangsung sekarang tidak harus dianggap sebagai bertanggungjawab bagi lonjakan jangkitan koronavirus di Tokyo, kata jurucakap Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC) Mark Adams pada Khamis (29 Jul), menurut laporan penyiar Jepun NHK.

Kes harian COVID-19 di bandar tuan rumah Sukan Olimpik Tokyo itu mencapai rekod tertinggi dua hari berturut-turut pada Rabu (28 Jul) iaitu sebanyak 3,000 kes, buat pertama kali sejak pandemik itu bermula.

Kes harian tertinggi sebelum ini sebanyak 2,848 jangkitan dicatatkan pada Selasa meskipun darurat diisytiharkan di Tokyo dan wilayah-wilayah sekitarnya bagi membendung penularan jangkitan.

Kyodo News melaporkan, lonjakan jangkitan itu memberikan tekanan kepada hospital dan merendahkan semangat penduduk terhadap temasya yang berlangsung dalam keadaan yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Bahkan, jumlah jangkitan juga sedang menular dalam kalangan pegawai dan peserta temasya itu.

Sekirang-kurangnya 16 lagi kes dilaporkan dalam kalangan kakitangan Olimpik pada Rabu.

Sehingga kini, 169 kes sedemikian dilaporkan.

Tokyo berada dalam keadaan darurat keempat yang akan berkekalan sepanjang temasya Olimpik, sementara tiga wilayah lain melaksanakan langkah darurat yang lebih longgar.

Wilayah Kanagawa, Chiba serta Saitama yang berdekatan turut mencatatkan lonjakan kes jangkitan akibat varian Delta yang lebih mudah berjangkit.

Keadaan itu juga menimbulkan masalah kepada Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga, di mana sokongan terhadapnya berada pada tahap terendah sejak memegang jawatan pada September lalu, menjelang pilihan raya umum tahun ini.

Sumber : Bernama/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan